am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon, Mimi Lana berjaya mencuba semua resipi dari video akaun pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming, setakat ini.
Mimi berkata, antara resipi Khairul Aming yang berjaya dicubanya ialah asam pedas, rendang, sup daging dan sup ayam.
“Setakat ini, semua resipi Khairul Aming yang saya cuba semuanya menjadi di rumah. Cuma saya belum mencuba resipi buat kuih- muih atau kek lagi kerana saya tengok ramai yang gagal di TikTok,” katanya.
Mengenai resipi Khairul Aming lagi, kata Mimi, dia juga pernah ditanya mengenai pengalaman mencuba resipi pempengaruh itu sebelum ini.
“Saya juga ada baca komen daripada pengikut di media sosial. Semua orang cakap dalam ruangan komen, saya mungkin pelajar (kelas masakan Khairul Aming) kelas depan,” kata isteri kepada pelakon popular, Syafiq Kyle itu.
Terdahulu, ramai memilih untuk memasak juadah sahur dan berbuka puasa dari video resipi Khairul Aming yang terkenal dengan kandungan 30 Hari 30 Resipi setiap kali Ramadan.
Namun, tahun ini pencipta kandungan digital itu diuji dengan pelbagai ragam dan kejadian menarik yang dikongsi pengikutnya.
Di aplikasi TikTok, lebih 151 video dengan judul ‘Kepada Khairul Aming, kita orang buat tak jadi!’ menunjukkan hasil masakan yang tidak seperti diharapkan.
Sebelum itu, Khairul Aming juga sudah berpesan kepada pengguna media sosial supaya tidak ‘derhaka’ resipi dikongsikan namun turut ‘repost’ video pengguna yang memuat naik masakan tidak jadi sekali gus turut meninggalkan komen melucukan di video berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




