am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemandu kereta yang dikepung orang ramai kerana didakwa cuba melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Danga Bay di sini, didapati memandu tanpa lesen sah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemandu warga tempatan yang tidak bekerja juga didapati memandu kenderaan dengan cukai jalan yang sudah tamat tempoh.
Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer 5.3 Jalan Skudai Pantai Lido di sini jam 1.50 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha LC135 dan kereta Perodua Myvi.
“Mangsa seorang wanita tempatan berusia 39 tahun bekerja sebagai operator pengeluaran menunggang motosikal secara bersendirian dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga tempatan dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh belakang motosikal mangsa.
“Akibatnya, mangsa tercampak atas laluan manakala motosikal mangsa terbabas dan merempuh batu pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa cedera di pergelangan tangan kanan dan menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dipindahkan ke Hospital KPJ Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan tampil membuat laporan polis.
“Hasil ujian saringan air kencing dan ujian alkohol dijalankan terhadap pemandu adalah negatif.
“Tindakan saman dilakukan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tanpa lesen memandu yang sah serta di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan 1987 kerajaan menggunakan kenderaan dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.
“Kertas siasatan bersabit kes berkenaan dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




