Ismail Sabri sambung beri keterangan kali ke-6 di SPRM

Ismail Sabri sambung beri keterangan kali ke-6 di SPRM

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Kenderaan membawa Perdana Menteri kesembilan itu tiba kira-kira jam 10 pagi.

Kehadiran beliau ke ibu pejabat SPRM hari ini adalah kali keenam dan bagi menyambung memberi keterangan.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.

Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah ‘safe house’ hasil serbuan SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top