Pemandu Honda Jazz akan dituduh dalam masa terdekat

Pemandu Honda Jazz akan dituduh dalam masa terdekat

am@hmetro.com.my

Seremban: Pemandu Honda Jazz yang didakwa merempuh empat remaja sehingga menyebabkan tiga daripada mangsa meninggal dunia pada kejadian di Persiaran Senawang, di sini, 6 Mac lalu, masih dirawat di hospital, dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya masih menunggu untuk melengkapkan siasatan nahas, 8.30 malam itu.

“Buat masa ini, pemandu Honda Jazz berumur 18 tahun itu masih dirawat di hospital dan polis masih menunggunya keluar wad.

“Sebaik dia dibenarkan keluar, kami akan menjalankan siasatan dan hasilnya akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk arahan seterusnya,” katanya dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, berdasarkan laporan yang diterima, remaja itu akan dibenarkan keluar daripada wad dalam masa terdekat dan pihaknya akan cuba untuk mendapatkan arahan tuduh di mahkamah dengan segera.

Tambahnya, ibu kepada remaja terbabit juga sudah dituduh di mahkamah sebelum ini, namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan anak memandu tanpa lesen.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dirempuh Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height, 6 Mac lalu.

Penunggang dan pembonceng Modenas Kriss berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi, gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan melanggar Modenas Kriss berkenaan, serta sebuah Honda Vario.

Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top