Pesona burung hijrah

Pesona burung hijrah

asmaini@mediaprima.com.my

MIGRASI burung pemangsa memberikan pemandangan mempesonakan di Tanjung Tuan, Melaka pada Mac setiap tahun.

Dianggarkan puluhan ribu burung pemangsa atau ‘raptor’ merentasi Selat Melaka untuk pulang ke hemisfera utara sejauh lebih 10,000 kilometer seperti Jepun, Korea, Siberia dan India.

Penghijrahan burung pemangsa biasanya bermula pada hujung Februari, berakhir pada pertengahan April dan Mac adalah kemuncak proses migrasi itu.

Raptor ialah burung jenis maging bercirikan pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di hemisfera utara, ketika sumber makanan di kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada Mac setiap tahun adalah Helang Lebah, Helang Baza Berjambul, Helang Sewah, Alap-Alap Cina, Helang Merah dan Lang Baza Hitam.

Pergerakan kumpulan burung itu banyak dibantu tekanan haba dan angin dari arah barat atau barat daya.

Kumpulan haiwan pemangsa itu meluncur di udara melintasi Selat Melaka ke Tanjung Tuan dan sebahagiannya berhenti antara satu hingga dua hari di kawasan itu memandangkan ia adalah hutan simpan yang menjadi tempat pelindung sebelum meneruskan penghijrahan.

Bagi menimbulkan kesedaran mengenai perlunya memelihara burung raptor dan habitat mereka, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menganjurkan Program Memerhati Burung Pemangsa ‘Raptor Watch’ setiap tahun sejak 2000.

Tahun ini, Raptor Watch 2025 diadakan selama dua hari pada 8 dan 9 Mac lalu di Taman Eko Rimba, Tanjung Tuan.

Program berkenaan dianjurkan dengan Kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Ia bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta ekosistem burung pemangsa yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan biodiversiti.

Tanjung Tuan adalah lokasi unik di mana orang ramai dapat menyaksikan fenomena mengagumkan penghijrahan burung pemangsa, sekali gus menjadikan kawasan itu khazanah alam yang perlu dipelihara.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran tahun ini buat pertama kalinya berlangsung pada Ramadan.

Namun, ia masih mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung dari luar dan dalam negara.

Ada beberapa aktiviti yang dijalankan seperti Forest Walk, Mycology Walkdan Scavenger Hunt.

Program berkenaan dikategorikan sebagai subsektor ekopelancongan di negeri itu dan mendapat penyertaan yang menggalakkan dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, pada hari kedua, JPNM dan Perhilitan Melaka mengetuai program berjalan dalam hutan bersama peserta yang terdiri daripada pencinta alam tempatan dan luar negara.

Lebih menarik, ia turut disertai Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer yang komited menunjukkan sokongan kepada usaha pemeliharaan alam semula jadi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah mendaki bukit dan interpretasi hutan, di mana peserta diberi penerangan mengenai keunikan flora yang ada di Tanjung Tuan.

Peserta turut diberi penerangan mengenai hidupan liar dan kepelbagaian spesies fauna di kawasan berkenaan.

Selain itu, mereka turut berpeluang menikmati pemandangan indah dari pelantar kaca (ViewPoint@Tg Tuan) yang menjadi salah satu tarikan utama pelancong.

Program diteruskan dengan pendakian ke Bukit Batu Putih yang terkenal dengan pemandangan panorama indah menghadap Selat Melaka.

Ia turut memiliki formasi batu kapur berusia lebih 200 juta tahun, menjadikannya antara warisan geologi berharga di negara ini.

Sementara itu, majlis perasmian program Raptor Watch 2025 disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim; Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai dan Pengurus Besar Tourism Melaka, Nasrul Ahmad.

Program itu dapat menyemarakkan lagi sektor pelancongan terutama subsektor pelancongan eko Melaka, sekali gus menarik kedatangan pelancong dalam mencapai sasaran 16.5 juta pelancong pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top