Kedudukan BERSATU dalam PN diputuskan Rabu ini

Kedudukan BERSATU dalam PN diputuskan Rabu ini

am@hmetro.com.my

Marang: Kedudukan BERSATU dalam komponen Perikatan Nasional (PN) dijangka terjawab pada mesyuarat PAS pusat, Rabu ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata penyingkiran parti dalam PN bergantung kepada keputusan suara majoriti anggota komponen dalam gabungan itu.

Katanya, PN mempunyai empat parti komponen iaitu PAS selaku parti terbesar dalam gabungan, BERSATU, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada Gerakan atau MIPP sama ada mahu menyokong PAS atau BERSATU untuk kekal dalam PN, selepas kedua parti (BERSATU dan PAS) mengakhiri kerjasama politik Isnin lalu.

“Berdasarkan perlembagaan PN, penyingkiran mana mana parti dalam komponen perlu mendapat majoriti parti anggota untuk membuat keputusan,” katanya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas kedudukan terkini di dalam PN.

Difahamkan, beberapa pemimpin tertinggi PN berkata, satu mesyuarat antara PAS dan dua parti komponen iaitu Gerakan dan MIPP sudah diadakan semalam bagi membincangkan status terbaru.

Abdul Hadi berkata, PAS adalah Pengerusi PN dan BERSATU masih ahlinya, tetapi terdapat dua lagi parti komponen iaitu Gerakan dan MIPP.

“Terpulang kepada dua parti itu sama ada menyokong BERSATU atau PAS, tetapi berdasarkan perlembagaan pengerusi mempunyai kuasa termasuk untuk menentukan logo pilihan raya dan lain-lain.

“Dia (Pengerusi PN terdahulu) membuat ketetapan itu bertujuan hendak ikat kita…sebab itu kita hendak lepas daripada ikatan berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top