redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Jujur cakap, saya memang rindu nak rasa makanan emak tapi dengan keadaannya begitu, saya kena faham dan kini giliran saya masak untuknya,” kata Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong.
Wan Mohd Khairu memberi reaksi itu ketika menceritakan pengalamannya menjaga ibu, Siah Jusoh, 66, yang menghidap dementia atau masalah ingatan.
Keadaan Siah menyebabkan Wan Mohd Khairu tidak dapat bekerja kerana perlu memberi perhatian sepenuh masa kepada ibunya itu malah belum membeli sebarang keperluan raya buat anak juga isterinya.
Menurut Wan Mohd Khairu, tiada lain yang boleh dilakukan selain bersabar walaupun ada ketikanya tertekan melayan kerenah ibunya.
“Jaga emak sakit ini macam besarkan anak kecil cuma bezanya budak kita boleh cubit manja kalau dia tak dengar kata.
“Tapi dengan orang tua, kita nak tinggi suara pun akan dapat dosa jadi mahu atau tak memang kena sabar.
“Awal dulu memang tertekan cuma sekarang sudah biasa cuma tekanan lain pula kerana tak bekerja sebab jaga emak jadi saya tiada sumber kewangan tetap melainkan elaun bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan zakat RM1,500 secara ‘one off’ untuk emak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Wan Mohd Khairu, isteri dan anaknya memahami keadaannya yang perlu memberi tumpuan lebih kepada ibunya.
“Isteri akan bantu cuci baju, masak pula saya bergilir dengannya dan anak faham nenek mereka….jadi mereka banyak bantu termasuk beri lampin jika emak saya perlukannya.
“Mereka (anak) pun tak ada mendesak nak baju raya dan setakat ini, makan minum kami sekeluarga cukup.
“Alhamdulillah, masih ada rezeki buat kami sekeluarga cuma bukan senang macam orang lain,” katanya.
Menurut Wan Mohd Khairu, sebagai anak sulung, dia akan terus menggalas tanggungjawab menjaga ibunya selagi ada kudrat walaupun sebelum ini menderita akibat barah prostat tahap tiga, diabetes dan darah tinggi.
Wan Mohd Khairu berkata, walau susah macam mana sekalipun, dia tidak akan menghantar ibunya ke pusat jagaan warga emas.
“Sebagai anak, saya memang tak sampai hati nak hantar emak ke rumah orang tua.
“Ia kerana saya masih boleh menjaganya dan sebenarnya, saya bersyukur kerana masih ada emak dan diberi peluang berbakti kepadanya.
“Sampai sekarang pun, saya akan bawa emak keluar bersama dan berat nak tinggalkannya kerana bimbang berlaku perkara tidak diingi waktu ketiadaan saya,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 163028506563 atas nama Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong.
#kw emak, anak, isteri, dementia, barah, prostat, elaun, sumbangan, rumah, orang tua, kuala terengganu, terengganu
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd