London: Pemilik majoriti Tottenham Hotspur berikrar mengembalikan kegemilangan kelab itu selepas hampir tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam dua musim berturut-turut.
Kemenangan 1-0 ke atas Everton di laman sendiri pada aksi terakhir musim Ahad lalu membolehkan Spurs menamatkan saingan di tangga ke-17, satu anak tangga di atas zon penyingkiran buat musim kedua berturut-turut apabila terselamat dengan kelebihan dua mata.
Namun, musim 2025/26 yang penuh kekecewaan apabila mereka melantik tiga pengurus mengundang kemarahan penyokong kelab utara London itu.
Penyokong kerap melepaskan kemarahan kepada pemilik majoriti ENIC yang dikendalikan keluarga Lewis bersama ketua pegawai eksekutif, Vinai Venkatesham.
Pada September lalu, pengerusi lama Daniel Levy diminta berundur selepas menjadi individu paling berpengaruh dalam membuat keputusan di Spurs selama hampir 25 tahun.
Dalam surat kepada penyokong Tottenham yang dikeluarkan pada Rabu, keluarga Lewis mengakui mereka “amat kecewa” namun berjanji proses pembinaan semula sudah bermula di bawah pengendali semasa, Roberto De Zerbi.
“Kepada penyokong, sebagai pemilik selama 25 tahun, kami melalui suka dan duka Spurs bersama anda semua.
“Kedudukan ke-17 musim ini dan musim lalu tidak menggambarkan status serta potensi kelab bola sepak ini. Kami amat kecewa dan berkongsi rasa marah anda.
“Anda dan kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Kami tahu perkara seperti ini tidak boleh berulang lagi,” menurut kenyataan keluarga Lewis kepada Press Association Britain.
Kenyataan itu turut menyebut: “Kami juga bertanggungjawab membina semula Spurs. Cita-cita kami adalah mengembalikan semangat kelab serta membawa semula keterujaan, keberanian dan corak bola sepak menyerang yang menjadi identiti kami selama ini.
“Ini bermakna bola sepak menjadi keutamaan… Ia memerlukan pelaburan dalam pasukan, akademi, struktur sokongan dan banyak lagi, dan kami komited sepenuhnya terhadap perkara itu.
“Kami tidak menjual kelab ini. Kami akan terus bersama Spurs. Kami terus melabur dan anda akan melihat lebih banyak perubahan dalam beberapa bulan akan datang… Kami tahu tindakan lebih bermakna daripada kata-kata.”
Venkatesham menyertai Spurs daripada seteru utama Arsenal yang menambah luka Tottenham apabila muncul juara EPL musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




