hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengenal pasti 14 lokasi black spot kemalangan jalan raya dan 61 hot spot di sekitar ibu kota menerusi Op Lancar dan Op Selamat 24 sempena Aidilfitri ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, Op Lancar dilaksanakan bermula Ahad lalu hingga 6 April ini bagi memastikan kelancaran trafik di lebuh raya utama, jalan negeri dan persekutuan.
Menurutnya, manakala Op Selamat bermula 29 Mac ini sehingga 3 April ini dengan pihaknya meningkatkan pemantauan di semua lokasi berkenaan.
“Antara lokasi black spot yang dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Lebuhraya Duke. Lebuhraya MRR2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Cheras, Lebuhraya Besraya, Jalan Ipoh dan Jalan Kepong.
“Selain itu, Jalan Loke Yew, Jalan Syed Putra, Jalan Tun Razak, Lebuhraya MEX, Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Suke juga dikenal pasti sebagai lokasi black spot,” katanya pada program advokasi Op Selamat di sini, hari ini.
Katanya, antara lokasi hot spot dengan aliran trafik tinggi yang dikenal pasti ialah Bulatan Segambut, Bulatan Batu Caves, Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Segambut/Segambut Dalam, Jalan Klang Lama/Syed Putra dan Lebuhraya Sungai Besi/Jalan Istana.
“Selain itu, Jalan Tun Razak/Jalan Chan Saw Lin, Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu, Jalan Sultan Ismail/Jalan P Ramlee, Bulatan Sultan Hishamuddin, Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Laut dan Jalan Bangsar/Jalan Maarof,” katanya.
Azry Akmar berkata, pihaknya mengatur gerak seramai 17 pegawai kanan dan 320 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur sepanjang Op Selamat 24 bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, rancang perjalanan dengan baik dan sentiasa bersabar, berhati-hati serta sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Bagi yang tidak pulang ke kampung dinasihatkan supaya mengelak keluar rumah tanpa keperluan penting terutama pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




