Glasgow 2026: Sharul Aimy terlepas gangsa, hasrat tamat kemarau pingat musnah

Glasgow 2026: Sharul Aimy terlepas gangsa, hasrat tamat kemarau pingat musnah

Glasgow: Hasrat gimnas negara Muhammad Sharul Aimy untuk menamatkan kemarau 20 tahun pingat Malaysia dalam gimnastik artistik di Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila terlepas pingat gangsa acara melombol menerusi penentuan ‘tie-break’, hari ini.

Pada aksi final di Glasgow International Arena, Sharul Aimy mengumpul 13.733 mata, berkongsi mata sama dengan gimnas Cyprus, Neofytos Kyriakou, namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat mengikut peraturan ‘tie-break’ pertandingan.

Kyriakou meraih pingat gangsa selepas mencatat markah lebih tinggi bagi satu daripada dua lompatan, apabila memperoleh 14.100 mata pada percubaan pertama berbanding catatan terbaik Sharul Aimy 13.833 mata pada percubaan kedua.

Pingat emas dimenangi Felix Dolci dari Kanada, manakala Luke Whitehouse dari England membawa pulang perak.

Berdasarkan peraturan ‘tie-break’, gimnas yang berkongsi jumlah mata keseluruhan akan dipisahkan berdasarkan markah tertinggi bagi satu lompatan individu, diikuti markah pelaksanaan dan tahap kesukaran tertinggi sekiranya masih terikat.

Terdahulu, seorang lagi wakil negara Rachel Yeoh turut terlepas peluang menaiki podium apabila menamatkan saingan senaman lantai wanita hanya 0.1 mata di belakang pemenang pingat gangsa.

Acara gimnastik artistik yang berlangsung selama lima hari melabuhkan tirainya hari ini dengan Malaysia menamatkan kempen tanpa sebarang pingat.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam gimnastik artistik di Sukan Komanwel ialah menerusi Ng Shu Wai yang memenangi pingat perak acara senaman lantai lelaki di Melbourne, Australia pada 2006, selepas turut meraih pingat perak dalam acara sama pada edisi 2002 di Manchester.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top