am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya buntu memikirkan masalah kewangan dialami, anak disahkan menghidap penyakit Leukemia Mieloid Kronik (CML), suami pula tidak boleh melakukan kerja berat,” kata Haryani Mat Hussin, 46.
Haryani berkata, anak keempatnya, Ana Sufiyyah Mohd Tarmizi, 12, disahkan menghidap penyakit itu dua tahun lalu dan sejak September 2023 mereka kerap berulang alik ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk menjalani rawatan kemoterapi.
Bagaimanapun, katanya, ubat yang digunakan dalam rawatan kemoterapi sebelum ini tidak memberi kesan positif kepada Ana Sufiyyah.
“Doktor mencadangkan ubat untuk rawatan kemoterapi ditukar, tetapi dengan keadaan kewangan selain perlu menanggung lima lagi anak yang masih belajar, saya tidak mampu menyediakan sejumlah wang yang diperlukan.
“Anak saya perlu bergantung kepada rawatan kemoterapi seumur hidup kerana sel-sel kanser boleh menjejaskan sel sihat sehingga boleh merisikokan nyawanya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jalan Bayam, di sini.
Ibu kepada 10 cahaya mata ini berkata, pada masa sama, Ana Sufiyyah turut menghidap ‘horse shoe kidney’ yang mana dia hanya mempunyai satu saluran menyambung kedua-dua buah pinggang.
“Berbanding mereka yang normal, terdapat dua saluran dan jika salah satu buah pinggang rosak, satu lagi boleh digunakan tetapi tidak bagi Ana Sufiyyah yang boleh menyebabkan kedua-dua rosak jika berlaku sesuatu ke atas organ itu.
“Ana Sufiyyah adalah anak istimewa kerana dia dilahirkan dengan keadaan tidak ada cuping pada telinga sebelah kiri atau ‘golden har syndrome’ iaitu cacat pada cuping telinga,” katanya.
Haryani berkata, suaminya, Mohd Tarmizi Mustafa, 48, yang sebelum ini berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu kini menderita slipped disc sehingga tidak boleh melakukan kerja berat.
“Kami kini buntu memikirkan bagaimana cara untuk mencari wang bagi menampung kos perubatan Ana Sufiyyah.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk meminta derma orang ramai, sebaliknya saya usaha melalui perniagaan kecil-kecilan dengan menjual karipap, serunding dan popia mini untuk pendapatan tambahan bagi rawatan Ana Sufiyyah.
“Perniagaan sekarang agak perlahan, jadi saya berdoa r ada insan sudi membeli produk saya. Selagi kudrat ada, selagi itulah saya akan berusaha bagi memastikan Ana Sufiyyah kembali sihat,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 563046315162 atas nama Haryani Mat Hussin atau boleh menghubunginya di talian 011‑10267559.
© New Straits Times Press (M) Bhd




