Kuala Terengganu: Menjadi tradisi pasangan warga emas di Kampung Surau Panjang di sini menganyam ketupat beramai-ramai bersama keluarga sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Aktiviti itu diadakan saban tahun oleh, Ramlah Endut, 76, dan suaminya, Abdullah Mohd Amin, 80, bersama 12 orang anak serta menantu, 36 cucu dan empat cicit sejak puluhan tahun dahulu.
Ramlah berkata, ia menjadi rutin buat mereka sekeluarga berkumpul sambil menganyam ketupat beberapa hari sebelum umat Islam menyambut lebaran.
“Anak-anak masing-masing sudah berhijrah dan berkeluarga, jadi apabila tiba musim perayaan sebegini, mana yang boleh ke kampung akan anyam ketupat untuk dijadikan menu hari raya nanti.
“Jika ada yang pulang lebih awal, mereka akan bantu saya menyiapkan tempahan ketupat palas yang diterima.
“Memang seronok dapat berkumpul beramai-ramai dan saya lega sekurang-kurangnya kemahiran ini dapat diteruskan anak dan cucu ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Panjang di sini.
Menurut Ramlah, dia mempelajari cara pembuatan ketupat palas daripadanya ibunya yang akhirnya menjadi sumber pendapatan buatnya.
“Ketupat palas ini sudah jadi sumber pendapatan saya sejak lebih 30 tahun lalu dan pada hari biasa, sebanyak 150 biji ketupat dibuat untuk dijual kepada peniaga di sekitar kawasan ini.
“Namun, kedatangan Aidilfitri memberi rezeki berganda buat saya apabila lebih 5,000 biji ketupat palas diterima.
“Kalau hari biasa, saya siapkan tempahan dengan bantuan suami tetapi untuk hari raya, saya akan ambil pembantu selain dibantu anak-anak yang ada pulang ke rumah,” katanya.
Katanya lagi, tradisi menganyam ketupat itu akan diteruskan kerana ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan seterusnya meneruskan legasi keluarga.
“Ketupat ini dijual dengan harga 60 sen sebiji dan memang sudah ada pelanggan tetap yang akan menempahnya saban tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




