Kuantan: “Dia seorang ayah yangpenyayang dan begitu baik buat kami lima beradik. Keluarga sentiasa menjadi keutamaan,” kata Azizi, 22, anak kepada Mohammad Zubir Mahat, 56, yang meninggal ketika solat sunat semalam.
Anak keempat daripada lima beradik berkata, arwah ayahnya sebelum ini sentiasa kelihatan sihat dan tiada perubahan menunjukkan dia mengidap masalah jantung.
Menurutnya, arwah hanya mengidap darah tinggi dan kencing manis yang tidaklah serius. Arwah juga aktif dan ke masjid setiap hari untuk menunaikan solat berjemaah.
Rutin harian sepanjang Ramadan menyediakan hidangan berbuka puasa di masjid.
“Saya percaya kelebihan pada arwah yang sentiasa bangun malam untuk menunaikan solat tahajud selain membaca al-Quran membolehkan dia menemui Yang Maha Esa ketika sedang solat sunat, dalam keadaan berpuasa dan Ramadan.
“Semasa kejadian semalam saya sempat melihat arwah yang ketika itu terbaring, keadaanya ketika itu terlalu lemah sebelum pegawai perubatan memberi pertolongan cemas lalu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya, di sini hari ini.
Mohammad Zubir yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI) dan AJK Badan Khairat Kematian Masjid Ittifaqiah, di sini, meninggal dunia ketika menunaikan solat sunat sebelum subuh.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Indera Sempurna, di sini, semalam.
Azizi yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya berkata, sebelum ini arwah selalu berpesan supaya sentiasa menjaga kewajipan menunaikan solat lima waktu,sebelum melakukan apa juga aktiviti harian solat terlebih dahulu.
“Aidilfitri kali tidak bermakna lagi buat kami sekeluarga. Ayah yang kami sayangi pergi buat selamanya. Impian untuk menyambut Syawal dalam suasana gembira tidak menjadi kenyataan. Kami reda dengan apa yang berlaku tanpa diduga.
“Semua persiapan untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira kini bertukar sayu. Saya tidak dapat bayangkan keadaan kami sekeluarga menjelang pagi Syawal selepas ketiadaan ayah.
“Yang pasti kami sekeluarga akan ziarah pusara ayah selepas petang semalam menghantarnya dalam keadaan hujan lebat mengiringi upacara pengkebumian,” katanya yang masih sukar menerima kehilangan bapa tersayang.
AJK Masjid Ittifaqiah meninggal ketika solat sunat
© New Straits Times Press (M) Bhd




