farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.
Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan bersama berkata, senarai calon akan diumumkan Jumaat ini bersempena pelancaran trak kancil.
Katanya, kerusi yang akan ditandingi adalah berdasarkan latar belakang dan kecenderungan pengundi mengikut dapatan kaji selidik serta data yang dijalankan sejak enam bulan yang lalu
“Selain itu, ia juga berdasarkan keahlian mengikut unit parlimen dan kecenderungan ahli BERSAMA di kawasan berkenaan serta kesesuaian calon dari kalangan perintis BERSAMA di Johor dan calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding di kerusi berkenaan.
“Pemilihan kerusi juga adalah berdasarkan kemampuan BERSAMA mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan di kerusi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, sistem kempen bersepadu BERSAMA akan mula dibuka esok yang membolehkan ahli-ahli BERSAMA dan orang ramai dari seluruh negara memilih kempen pilihan raya yang ingin disertai mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis-jenis aktiviti.
“BERSAMA berhasrat merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar dengan mengaktifkan seberapa ramai ahlinya dan orang ramai dari seluruh negara membantu kempen BERSAMA di 15 kerusi ini secara sukarela.
“Bagi BERSAMA, PRN Johor 2026 bukan saja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik.
“Ia peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




