3 lelaki cuba rempuh polis ditahan

3 lelaki cuba rempuh polis ditahan

#taskid sendstory

mdroji@bh.com.my

Kuching: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai cuba merempuh anggota polis yang membuat pemeriksaan di Jalan Green, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, dalam kejadian 3.20 pagi itu, anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan Mitsubishi Triton merah dan Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika anggota polis cuba menahan untuk membuat pemeriksaan, dua kenderaan itu memecut melarikan diri.

“Polis mengejar dua kenderaan itu sehingga ke taman perumahan berdekatan dan tiba-tiba pemandu pikap membuat pusingan U dan meluru cuba melanggar anggota polis.

“Salah seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah pikap itu menyebabkan kenderaan itu terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, polis kemudian menahan tiga lelaki berusia antara 39 hingga 41 tahun yang berada di dalam pikap berkenaan.

Polis turut merampas pikap itu dan menemui beberapa peralatan dipercayai untuk melakukan jenayah.

Menurutnya seorang suspek berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan akibat tembakan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Hasil semakan lanjut, dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah narkotik dan saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 3 April ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Menurutnya lagi, polis kini giat mengesan kereta Perodua Bezza berwarna merah yang masih bebas dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkannya kepada polis.

“Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau berhubung terus drngan pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Chris Olsen Ramli di talian 013-8607572.

“Orang ramai juga dinasihatman supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top