redzuan.muharam@hmetro.com.my
Segamat: Biarpun kudung tangan kiri, Siti Nur Atia Raisya atau nama manjanya Atia tetap menjadi kesayangan ibu, Rosmayang Sari Rosli dan bapa, Awang Jusman Shamsuddin yang menerimanya sejak hari pertama dilahirkan.
Tidak pernah sekalipun suami isteri itu malu memiliki anak istimewa begitu juga dengan keluarga mereka yang terlalu menyayangi Atia, 3.
Bercerita lanjut, Rosmayang Sari, 33, berkata, Atia adalah anak bongsu daripada dua beradik dan menunggu lima tahun untuk menimang cahaya mata perempuan.
Dia tidak mengesan sebarang masalah sepanjang mengandungkan Atia walaupun selepas melakukan ujian imbasan.
“Selepas selamat melahirkan, saya dengar bidan mengucap dan tak tahu keadaan Atia sehingga dia berada dalam pangkuan.
“Suami tak dapat temani saya waktu bersalin dan hanya tahu keadaan Atia selepas datang ke hospital.
“Dia (suami) beritahu emak… emak kata, dia terima dengan hati terbuka cuma pada awalnya saya tak tahu macam mana nak maklumkan ahli keluarga lain,” katanya kepada Harian Metro.
Rosmayang Sari kemudiannya berterus terang dan bersyukur kerana kehadiran Atia diterima baik seluruh ahli keluarga walaupun selepas tahu keadaan anaknya.
“Cuma selepas bawa balik Atia ke rumah, saya tak buka lagi kain penutup yag membaluti tubuhnya.
“Selepas seminggu, barulah emak tunjuk kepada anak sulung dan dia tanya kenapa… lama juga dia merenung tangan adiknya.
“Kemudian dia peluk dan kata sayangkan adiknya. Itu yang buat saya tersentuh cuma pernah sekali dia pulang ke rumah dan tanya bila tangan adiknya nak ada kerana diejek kawan di sekolah.
“Saya beritahunya yang tangan adiknya Allah SWT simpan dan pesan tak boleh malu dengan adik sebaliknya kena jadi pelindung.
“Sejak itu dia faham dan tak tanya lagi soalan sama,” katanya.
Rosmayang Sari berkata, Atia tiada masalah tumbesaran kerana cepat berjalan malah boleh bertutur dengan jelas dan tidak pelat seawal usia 11 bulan.
Katanya, dia dan suami yang berusia 35 tahun juga sudah menghantar Atia ke taska bagi mendapatkan pendidikan awal selain bergaul dengan rakan sebaya.
“Cuma ada cabaran juga sebelum ini kerana ada taska tak terima murid macam Atia.
“Syukur akhirnya ada yang terima dan sebagai ibu, saya nampak Atia seorang kanak-kanak aktif dan cikgu banyak tolong serta memberinya pendedahan ketika dalam bilik darjah.
“Dia (Atia) pun tak ada tanya mengenai keadaan tangannya.
“Saya ada juga kongsi video Atia di TikTok kerana terkesan dengan kata-kata orang yang di kenali bahawa Atia anak istimewa kerana dosa lampau.
“Tak sangka pula video itu tular dengan rata-rata warganet memberi komen positif dan mendoakan Atia,” katanya.
Seperti ibu lain, Rosmayang Sari juga mendoakan yang terbaik buat Atia dan berharap anaknya itu membesar dengan sihat.
“Saya berharap juga semoga Atia jadi anak yang berani dan jangan terlalu merendah diri.
“Saya, suami, abangnya dan seluruh ahli keluarga sentiasa ada di belakangnya.
“Semoga Atia dapat buktikan kepada semua dia juga boleh berjaya seperti orang lain walaupun dilahirkan dengan kekurangan akibat kecacatan fizikal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




