am@hmetro.com.my
Klang: Tiga rumah teres setingkat musnah dalam kebakaran di Lorong Bawal Tambak 1, Taman Sri Gadong, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.09 malam.
Menurutnya, sepasukan 16 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan, Klang Utara dan Andalas dikejarkan ke tempat kejadian.
Berdasarkan maklumat awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres yang terbakar 50 peratus.
“Bagaimanapun, kebakaran sebenar membabitkan tiga rumah iaitu rumah pertama (50 peratus), kedua (20 peratus) dan ketiga (15 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal jam 11.45 malam.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




