Kuala Lumpur: Penyanyi Mimifly, 39, teruja bakal beraksi sebagai artis jemputan di Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 22 Jun depan.
Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham mengajak ramai untuk hadir dan membeli tiket konsert berkenaan selain menjanjikan persembahan cukup magis nanti.
“Saya akan menjadi tetamu istimewa dalam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti. Saya teruja dan sangat seronok dapat berkongsi pentas sebagai undangan pada konsert terbabit.
“Jangan lupa datang dan meriahkan malam yang penuh magis bersama kami. Jumpa di sana!” umumnya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, penganjurnya Tuan Isa A Rani dari Jaguh Baru Production memaklumkan Mimi bakal membuat persembahan pembukaan untuk konsert berkenaan.
Menurutnya, pemilihan Mimi sebagai artis jemputan dibuat selepas mereka menyaksikan persembahannya di Gempak Most Wanted Awards 2024 baru-baru ini.
Tuan Isa turut menegaskan pemilihan Mimi bukan berdasarkan kontroversi atau kerana namanya sering trending di media sosial, sebaliknya kerana bakat dan kemampuan yang dimilikinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




