norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam mengingatkan pasangan suami isteri dan mereka yang sudah bercerai agar membuang ego masing-masing demi kebahagiaan anak-anak.
Yusof, 70, berkata, tiada siapa pun yang akan rugi sekiranya membuang ego diri dan memohon maaf terlebih dulu bagi memastikan penyatuan silaturahim serta hubungan kekeluargaan terjalin baik.
“Kepada pasangan suami isteri dan juga sudah bercerai, saya nasihatkan buang ego masing-masing dan berbaik-baiklah demi kebahagiaan serta kegembiraan anak-anak. Tak ada siapa yang rugi pun.
“Janganlah disimpan dalam hati sekiranya ada masalah kerana nanti kita juga yang jadi tidak tenang. Jiwa akan memberontak dan rasa semua perkara serba tidak kena. Jadi, buang saja ego itu dan kita bermaaf-maafanlah.
“Begitu juga saya lakukan kepada isteri, Datin Patimah Ismail sekiranya ada buat salah dan dia merajuk. Saya sendiri akan minta maaf kepadanya dan bukan apa, kadang-kadang semua ini disebabkan ego,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Yusof lagi, dia bagaimanapun bersyukur melihat hubungan baik anaknya iaitu Syamsul Yusof, 41, dan bekas menantu, Puteri Sarah Liyana, 40, yang tiada lagi sengketa selepas bercerai.
“Alhamdulillah, saya seronok tengok Syamsul sekarang. Bila dia dah kembali ‘bujang’, hubungannya dengan bekas isteri, Puteri Sarah pun saya lihat baik-baik saja. Mereka boleh berbual dan bergurau demi anak-anak.
“Sebab itu saya kata, kena buang ego diri. Kalau jodohnya dah sampai di situ, kita nak buat macam mana. Berbaik-baik sajalah demi anak-anak dan perancangan Allah itu yang terbaik,” katanya.
Pada tahun ini, Yusof mengakui teruja meraikan Aidilfitri sekeluarga kerana Syamsul kembali balik beraya bersama selepas lima tahun membawa haluan sendiri akibat berjauh hati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




