am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan Barisan Nasional (BN) Melaka kini sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan gabungan parti lain untuk bekerjasama mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusi BN negeri itu berkata, banyak pihak yang tampil menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.
“Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramai yang nak meminang. Kena tunggulah.
“Jadi pastinya saya sebagai ‘ketua dalam keluarga’ ini akan memilih siapa yang memberikan hantaran mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dilaporkan akan berunding dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Ia susulan pendirian Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka yang membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun menegaskan rundingan tidak semestinya berakhir dengan perjanjian atau persetujuan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sehingga kini masih belum ada mana-mana parti politik atau gabungan parti berunding mengenai kerjasama dalam PRN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan BN Melaka sentiasa terbuka untuk berunding.
“Walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, asalkan kedua-dua pihak dapat bersama-sama melihat hala tuju yang terbaik,” katanya.
Katanya, sebarang bentuk asas perundingan kelak mesti berpaksi kepada keutamaan BN untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN ke-15 lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

