am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Pegawai bank yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid meninggal dunia selepas dilanggar lori di Kampung Bemban, Senaling, di sini.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi tadi, mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan berjalan kaki sebelum dirempuh lori dari arah sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Pilah.
“Kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 19 Jalan Senaling-Kg Kepis di sini, membabitkan lori dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Kuala Pilah ke Bukit Rokan dan pejalan kaki.
“Pemandu lori dipercayai melanggar pejalan kaki yang sedang berjalan di bahu jalan dari arah sama,” katanya, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori tidak cedera dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd



