JS-SEZ pemangkin baharu untuk Iskandar Puteri

Mukadimah

ZON Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan seterusnya di Iskandar Puteri, bukan sahaja dari segi kemasukan pelaburan dan pewujudan pekerjaan, malah dalam membentuk sebuah ekosistem bandar yang mampu menyokong keperluan perniagaan, tenaga kerja dan komuniti.

Dengan keluasan kira-kira 3,500 kilometer persegi merangkumi sembilan zon pembangunan utama, JS-SEZ menyasarkan untuk memudah cara pelaburan, mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran serta memperkukuh integrasi ekonomi Malaysia-Singapura dalam tempoh 10 tahun.

Johor sendiri mencatat prestasi kukuh apabila merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia. 

Perkembangan pusat data, industri berteknologi tinggi, pembuatan dan logistik turut meningkatkan potensi Johor sebagai hab ekonomi serantau.

Ikuti pandangan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Shaharul Farez Hassan yang berkongsi mengenai prospek JS-SEZ dan peranan Iskandar Puteri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Johor.

UTUSAN: Bagaimana tuan melihat peranan JS-SEZ dalam fasa pertumbuhan seterusnya di Iskandar Puteri?

SHAHARUL: JS-SEZ menye­diakan persekitaran yang mem­bolehkan Iskandar Pute­ri menarik lebih banyak pelaburan, industri bernilai tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran dalam jangka panjang.

Namun, peluang yang diwujudkan menerusi JS-SEZ perlu dilihat melangkaui kemasukan pelaburan dan penciptaan pekerjaan semata-mata.

Pertumbuhan ekonomi yang mampan juga memerlukan persekitaran bandar yang mampu menyokong kehidupan, komuniti dan bakat yang akan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan itu.

Justeru, pembangunan ekonomi dan pembangunan bandar perlu bergerak seiring.

 

Apakah peranan UEM Sunrise dalam menyokong pertumbuhan tersebut?

UEM Sunrise mempunyai kehadiran yang kukuh di Iskandar Puteri sejak fasa awal pembangunan Iskandar Malaysia pada 2007.

Sejak itu, kami terus memainkan peranan dalam pembangunan kawasan kediaman, komersial dan perindustrian bersepadu sehingga ke fasa pertumbuhan baharu yang kini didorong oleh JS-SEZ.

Kami mempunyai pegangan tanah strategik di Johor, sebahagian besarnya terletak di Iskandar Puteri yang merupakan koridor pertumbuhan di bawah Zon B JS-SEZ.

Antara aset utama kami ialah Gerbang Nusajaya, pembangunan bandar bersepadu seluas 1809.35 hektar yang dirancang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan perindustrian seterusnya di rantau ini.

Peranan kami adalah mempersiapkan perbandaran ini untuk menyokong pertumbuhan tersebut melalui pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman yang dirancang dengan baik, sekali gus menyediakan persekitaran kondusif untuk perniagaan serta komuniti berkembang.

 

Bagaimana Gerbang Nusajaya boleh menyokong keperluan industri di bawah JS-SEZ?

Permintaan kini berkembang melangkaui ruang perindustrian kepada ekosistem bersepadu yang merangkumi perumahan, kemudahan komersial, jaringan perhubungan dan perkhidmatan sokongan.

Gerbang Nusajaya dirancang sebagai sebahagian daripada transformasi lebih menyeluruh itu dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong keperluan perniagaan, tenaga kerja dan komuniti.

Perancangan masa depan turut merangkumi kawasan eko-perindustrian berteraskan digital yang menyokong industri dipacu teknologi dan inovasi serta berkaitan tenaga boleh baharu.

Ia akan menggabungkan infrastruktur digital, ciri yang menyokong sasaran pelepasan karbon bersih sifar serta kemudahan komersial dan logistik.

Pendekatan ini selari dengan matlamat JS-SEZ dan keutamaan negara melalui kerangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

Selain industri, sejauh mana aspek kediaman dan kualiti hidup penting dalam menjayakan JS-SEZ?

Daya saing sesebuah bandar tidak hanya bergantung kepada kekuatan sektor perindustriannya.

Keupayaan menyediakan persekitaran kondusif untuk kehidupan, rekreasi dan komuniti turut menjadi faktor penting dalam menarik serta mengekalkan tenaga kerja dan bakat.

Di Iskandar Puteri, ekosistem UEM Sunrise turut merangkumi Puteri Harbour, sebuah destinasi pesisir antarabangsa seluas 1,172 ekar yang menjadi hab gaya hidup, pelancongan dan rekreasi.

Ia menghimpunkan kediaman, kemudahan marina, hospitaliti, sajian, riadah, seni dan kegiatan perniagaan.

Turut melengkapi ekosistem tersebut ialah Estuari Sports Centre yang menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi bagi menggalakkan kesejahteraan komuniti serta kesepaduan sosial.

 

Bagaimana pula aspek kelestarian diterapkan dalam pembangunan Iskandar Puteri?

Kemampanan merupakan antara teras pendekatan pembangunan UEM Sunrise.

Projek kami berpandukan Sustainability Development Design Guidelines dan apabila bersesuaian, diselaraskan dengan piawaian kemampanan serta keperluan kawal selia berkaitan.

SIREH Park juga menjadi komponen penting dalam ekosistem ini. Taman rekreasi hijau komuniti bandar seluas 138.8 hektar itu berfungsi sebagai kawasan serapan karbon semula jadi dan dianggarkan mampu menyerap kira-kira 300,000 kilogram karbon dioksida setahun.

Ini menyumbang kepada sasaran UEM Sunrise untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Melalui The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), SIREH Park turut menggalakkan penglibatan komuniti menerusi program alam sekitar dan pemerkasaan.

Antaranya ialah inisiatif Plant That Tree yang menyasarkan penanaman 25,000 pokok hutan tempatan menjelang 2028. Sehingga 2025, lebih 10,000 pokok telah ditanam.

 

Dengan pertumbuhan pelaburan, apakah keperluan kediaman yang dijangka muncul di Iskandar Puteri?

Apabila perniagaan memulakan operasi, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran turut meningkat.

Pada masa sama, pertambahan penduduk akan meningkatkan permintaan terhadap kediaman, sekolah, kemudahan kesihatan, peruncitan, rekreasi dan perkhidmatan asas lain.

Portfolio kediaman terbaharu kami seperti Aspira Hills, Aspira LakeHomes, Senadi Hills dan Estuari menawarkan pilihan kediaman dalam segmen mampu milik, pertengahan dan premium, termasuk pembangunan bertanah dan bertingkat.

Dengan menawarkan kediaman dalam pelbagai kategori harga, kami mahu menyokong keperluan tenaga kerja bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Iskandar Puteri.

Ini termasuk rakyat Malaysia yang mahu menetap lebih dekat dengan peluang pekerjaan di selatan Johor dan Singapura.

Sehingga kini, UEM Sunrise telah menyerahkan kira-kira 1,648 unit kediaman di seluruh perbandaran itu, selain menyediakan 59 komponen komersial dan pelbagai infrastruktur sokongan.

 

Sejauh mana faktor kesalinghubungan menjadi kelebihan Iskandar Puteri?

Jaringan perhubungan pelbagai mod merupakan antara kelebihan strategik Iskandar Puteri kerana ia membolehkan pergerakan orang ramai, barangan dan modal antara Malaysia dengan Singapura dilakukan dengan lebih cekap.

Kedudukan Gerbang Nusajaya di hujung utara Laluan Kedua Malaysia-Singapura menjadikannya perbandaran pertama yang dilalui ketika memasuki Malaysia dari Singapura serta perbandaran terakhir sebelum menyeberang ke Singapura.

Pembukaan Persimpangan Gerbang Nusajaya pada 11 Disember 2025 turut meningkatkan tahap keterhubungan. – UTUSAN

Scroll to Top