New York: Rabea Rogge pada Isnin mencatat sejarah sebagai wanita Jerman pertama ke angkasa lepas setelah berlepas menaiki roket SpaceX, lapor agensi berita Jerman dpa.
Rogge merupakan seorang daripada empat “pengembara antarabangsa” yang turut disertai kru dari Malta, Norway dan Australia, menurut SpaceX.
Pelancaran itu berlangsung di Stesen Tentera Angkasa Cape Canaveral di Florida dan disiarkan secara langsung oleh SpaceX.
Sepanjang misi selama tiga hingga lima hari di kapsul Dragon milik SpaceX, pasukan itu akan meninjau kawasan kutub Bumi serta mengkaji cahaya ungu menyerupai aurora yang dikenali sebagai “Steve” pada ketinggian antara 425 hingga 450 kilometer.
SpaceX berkata misi itu, yang dinamakan Fram2, juga akan menghasilkan imej X-ray pertama manusia di angkasa.
Tiada wanita Jerman pernah ke angkasa lepas sebelum ini, menurut Pusat Aeroangkasa Jerman.
Rogge, yang berasal dari Berlin, belajar kejuruteraan elektrik dan teknologi maklumat di ETH Zurich sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah di Universiti Sains dan Teknologi Norway.
© New Straits Times Press (M) Bhd




