Real Madrid cipta rekod baharu Piala Dunia 2026

Real Madrid cipta rekod baharu Piala Dunia 2026

Madrid: Real Madrid mencipta sejarah baharu di Piala Dunia 2026 apabila pemain kelab gergasi Sepanyol itu menghasilkan jumlah jaringan tertinggi oleh wakil daripada satu kelab dalam satu edisi kejohanan.

Pemain Real Madrid sudah meledak 19 gol sepanjang Piala Dunia kali ini, sekali gus memecahkan rekod terdahulu 18 gol yang dikongsi oleh Honved pada 1954, Bayern Munich pada 2014 dan Paris Saint Germain (PSG) pada 2022.

Rekod itu dilengkapkan selepas Jude Bellingham menjaringkan dua gol ketika membantu England menewaskan Norway 2-1 pada suku akhir, menjadikan jumlah jaringan pemain Madrid terus meningkat.

Pemain paling menyerlah dalam rekod berkenaan ialah penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang sudah menghasilkan lapan gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

Bellingham pula menyumbang enam gol, termasuk jaringan berganda ketika menentang Norway, manakala Vinicius Junior meledak empat gol dan Arda Guler melengkapkan senarai dengan satu jaringan.

Pencapaian itu sekali lagi membuktikan kekuatan skuad Real Madrid yang memiliki barisan pemain bertaraf dunia daripada pelbagai negara.

Menariknya, gol terbabit bukan sahaja datang daripada satu pasukan kebangsaan, sebaliknya tersebar menerusi beberapa bintang yang menjadi tonggak utama negara masing-masing sepanjang kejohanan.

Mbappe menjadi sandaran Perancis dalam usaha memburu gelaran dunia kedua berturut turut, Bellingham pula menjadi nadi kebangkitan England, manakala Vinicius dan Guler turut mencuri perhatian bersama Brazil serta Turkiye.

Rekod itu turut menyerlahkan strategi Real Madrid membina skuad dengan menghimpunkan pemain terbaik dunia, khususnya bakat muda yang mampu menyerlah di pentas terbesar bola sepak antarabangsa.

Dengan hanya berbaki aksi separuh akhir dan final, jumlah jaringan pemain Real Madrid masih berpotensi meningkat, terutama menerusi Mbappe dan Bellingham yang masih berpeluang membawa negara masing masing menjulang trofi Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top