40 tahun lalu kerabat Saudi ke angkasa lepas

40 tahun lalu kerabat Saudi ke angkasa lepas

Empat puluh tahun lalu, anak Raja Arab Saudi iaitu Putera Sultan menjadi orang Arab, Muslim serta kerabat diraja pertama yang berlepas ke angkasa lepas.

Ia apabila anak kedua Raja Salman itu menaiki kapal angkasa Discovery milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat (AS).

Kapal itu berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, 2.33 petang (waktu Riyadh) pada 17 Jun 1985.

Discovery berlepas ke orbit pada kelajuan 28,968 kilometer sejam. Ia untuk misi orbital selama tujuh hari. Misi itu membawa tiga satelit komunikasi komersial, sistem pengesanan percubaan untuk sistem pertahanan peluru berpandu Star Wars milik AS, satu siri eksperimen astronomi dan bioperubatan dan salinan al-Quran.

Putera Sultan yang ketika itu berusia 28 tahun sebagai seorang daripada dua payload specialist di dalam Discovery. Payload specialist adalah kru kapal angkasa lazimnya seorang saintis atau jurutera, dipilih dan dilatih oleh organisasi komersial atau penyelidikan untuk mengendalikan muatan khusus, eksperimen dan peralatan semasa misi tetapi bukan angkasawan Nasa.

Penyertaan anak raja itu dalam misi itu sekali gus menjadikannya sebagai angkasawan Muslim, Arab dan ahli keluarga diraja pertama yang ke angkasa.

Misi itu adalah simbolik besar bagi putera raja itu kerana sejak berusia 13 tahun, beliau menonton rakaman televisyen mengenai misi bulan Apollo 11, yang berlepas dari tapak sama pada 16 Julai 1969.

Dalam satu temu bual Arab News pada 2020, Putera Sultan berkata, beliau tidak terfikir untuk melakar pencapaian itu.

Walaupun selepas belajar menerbangkan pesawat, memperoleh lesen juruterbang peribadinya pada 1977 semasa belajar di AS, beliau beranggapan adalah mustahil untuk seseorang dari dunia Arab akan ke angkasa lepas.

Namun, pada 1976, Arab Saudi memainkan peranan penting dalam pembentukan Arabsat, sebuah syarikat komunikasi satelit Liga Arab.

Satelit pertama Arabsat, Arabsat-1A, dilancarkan dengan roket Ariane 3 dari pusat angkasa di jajahan luar persisir Perancis, French Guiana di Amerika Selatan, pada Februari 1985.

Anggota Liga Arab kemudian dijemput untuk mencalonkan payload specialist dan selepas 10 minggu latihan intensif, Putera Sultan membuat peralihan daripada juruterbang kepada angkasawan.

Satelit kedua Arabsat, Arabsat-1B, menyusul empat bulan kemudian dengan dibawa ke angkasa oleh Discovery. Ia misi sama disertai Putera Sultan.

Sehingga hari ini, seperti yang dilaporkan Arab News, Putera Sultan sangat gembira dengan pencapaian ini selepas mengetahui Raja Salman berbangga dengannya kerana menjadi satu-satunya orang yang membaca al-Quran di angkasa.

Discovery mendarat di landasan 23, Pangkalan Tentera Udara Edwards di California, pada 6.11 pagi waktu Pasifik pada 24 Jun 1985.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top