Dengar raungan, tangisan, 6 nekad terjun sungai bantu penduduk

Dengar raungan, tangisan, 6 nekad terjun sungai bantu penduduk

hafidzul@hmetro.com.my

Subang Jaya: “Saya dengar suara mereka meraung dan menangis sambil dukung anak mahu menyeberang sungai kerana bahang api terlalu panas,” kata penduduk Kampung Sri Aman, Ahmad Syawal Hassan, 39.

Ahmad Syawal bersama lima warga Pakistan kemudian nekad untuk menyeberang sungai itu bagi membantu kira-kira 30 penduduk Kampung Tengah yang terkesan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pada mulanya dia memanggil penduduk sekitar untuk membantu namun tiada yang berani ke sungai berkenaan.

“Saya kemudian minta tolong warga Pakistan yang berada berdekatan dan mereka terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak yang melecur.

“Kira-kira lima warga Pakistan mendukung kanak-kanak sambil berenang menuju ke kampung kami,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, warga Pakistan Jaaffar Ali, 48, berkata dia mendengar jeritan dan raungan meminta tolong dari seberang sungai.

“Namun, saya jerit pada mereka supaya tidak menyeberangi sungai kerana arus deras, tetapi tidak didengari kerana keadaan bunyi letusan kebakaran gas yang terlalu kuat.

“Mereka terus menyeberang sungai menyebabkan saya terpaksa terjun kerana ada di antara mereka yang hampir lemas, dan saya bersyukur kerana berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.

Katanya, terdapat kira-kira 30 individu cuba menyeberang sungai, namun hanya tujuh yang berjaya ke Kampung Sri Aman, manakala selebihnya diminta untuk tidak menyeberangi jalan.

“Pada masa itu air sangat laju, manakala bahang api terlalu panas, saya minta mereka ke tepi, tetapi mungkin mereka panik dan mengambil tindakan drastik berkenaan,” katanya.

Seorang lagi warga Pakistan, Amer Nawab, 48, berkata dia dan rakannya terpaksa mengambil tindakan berisiko berkenaan kerana terdapat kanak-kanak yang berenang di sungai terbabit.

“Bahang (api) sangat panas sehingga di dalam air pun terasa panas, masa itu kami tidak fikir apa-apa, cuma mahu menyelamatkan kanak-kanak.

“Ada kanak-kanak yang diselamatkan melecur di bahagian tangan dan badan, namun saya bersyukur kerana mereka selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top