Penunggang basikal maut disyaki mangsa langgar lari

Penunggang basikal maut disyaki mangsa langgar lari

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seorang penunggang basikal maut dipercayai akibat insiden langgar lari di kawasan Taman BDC, di sini, hari ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 5.41 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah kediaman berhampiran lokasi kejadian.

Menurut maklumat dikongsikan di Facebook MyKuching, mangsa sebelum itu sempat menghantar mesej terakhir kepada rakan-rakan kayuhannya pada jam 5.30 pagi bagi mengatur janji temu untuk aktiviti berbasikal bersama.

Bagaimanapun, mangsa tidak muncul di lokasi pertemuan seperti dijanjikan menyebabkan rakan-rakannya mula berasa bimbang akan keselamatannya.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk menjejaki mangsa sebelum menemui lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lokasi kejadian.

Difahamkan, rakan-rakan mangsa segera meminta bantuan daripada penduduk yang tinggal berhampiran untuk mendapatkan bantuan jika ada sesiapa menyaksikan kejadian itu.

Hasil pemeriksaan rakaman CCTV di salah sebuah rumah di kawasan itu, mereka berjaya mengenal pasti kenderaan yang dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari berkenaan.

Rakaman itu juga menunjukkan arah kenderaan suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian, sekali gus membantu usaha menjejaki individu terbabit.

Difahamkan rakan-rakan mangsa sedang giat mengumpul lebih banyak bukti dan maklumat bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, sehingga jam 4.30 petang, pihak polis belum memberi maklum balas ketika diminta maklumat berhubung kes terbabit.

s

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top