Bangladesh memasuki era tenaga nuklear

Bangladesh memasuki era tenaga nuklear
Bangladesh memasuki era tenaga nuklear

Gambar menunjukkan pembinaan Loji Kuasa Nuklear Rooppur di Bangladesh. Foto Agensi

DHAKA – Permulaan proses pemuatan bahan api di unit pertama Loji Tenaga Nuklear Rooppur yang dibina Rusia membuka laluan kepada penghasilan tenaga nuklear secara percubaan di Bangladesh.

Apabila beroperasi sepenuhnya, loji tenaga nuklear itu dijangka membekalkan kira-kira 10 peratus daripada keperluan tenaga negara.

Pegawai memaklumkan bahawa proses pemuatan bahan api bagi unit pertama dijangka siap dalam tempoh 45 hari.

Selepas itu, reaktor akan diaktifkan pada tahap kuasa minimum terkawal sebelum output ditingkatkan secara berperingkat.

Elektrik kemudian akan dijana secara percubaan dan disalurkan ke dalam grid nasional.

Dengan kapasiti dirancang sebanyak 2,400 megawatt merangkumi dua reaktor, kemudahan itu akan menjadikan Bangladesh antara lebih 30 negara di dunia yang mengendalikan reaktor tenaga nuklear, menurut kenyataan Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia, Rosatom.

Kos projek tersebut dianggarkan mencecah AS$13 bilion (RM51.21 bilion) dengan Rusia menyediakan pinjaman kerajaan meliputi 90 peratus daripada jumlah itu.

Rusia juga akan memikul tanggungjawab jangka panjang melibatkan bekalan bahan api nuklear, penyelenggaraan teknikal serta pengurusan sisa bahan api terpakai.

Menteri Sains dan Teknologi Bangladesh, Fakir Mahbub Anam berkata, reaktor pertama loji itu dijangka memulakan operasi komersial pada Ogos dengan bekalan awal sekitar 300 megawatt.

Pengeluaran tenaga secara penuh pula dijangka bermula menjelang Disember atau awal 2027.

Projek itu dilihat sebagai pemangkin perubahan besar kepada Bangladesh, yang ketika ini bergantung tinggi kepada import tenaga bagi memenuhi keperluan elektrik dan industri, dengan kira-kira 95 peratus minyak dan gas diperoleh dari negara Asia Barat.- Agensi

Scroll to Top