Covid-19: 2,875 kes baharu, 7 kematian

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,875 kes positif baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu sehingga jam 12 tengahari dengan tujuh kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 2,541 pesakit pulih dan jumlah itu menyaksikan 361,267 daripada keseluruhan 384,688 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 1,407 kematian direkodkan setakat ini.

Menurutnya, terdapat 22,014 kes aktif dengan 115 daripada 248 pesakit kini di masukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Kelantan melaporkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 662 kes.

“Daripada jumlah ini, 567 kes (85.6) peratus daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ia diikuti Selangor (633), Sarawak (474), Kuala Lumpur (332), Johor (169), Sabah (160), Pulau Pinang (144), Kedah (91), Negeri Sembilan (55), Perak (49), Melaka (42), Terengganu (22), Putrajaya (10) dan Labuan (tiga).

Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan kes baharu.

Jumlah kes baharu itu membabitkan 29 kes import dan 2,846 kes penularan tempatan yang terdiri daripada 2,644 warganegara serta 202 warga asing.

Tiga kematian dilaporkan di Sabah, dua di Selangor dan masing-masing satu di Sarawak dan Kelantan.

Ia membabitkan enam warganegara serta seorang warga asing berusia 44 hingga 80 tahun yang semuanya mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan gout. – MalaysiaGazette