syafil.syazwan@hmetro.com.my
Gombak : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberikan bantuan kewangan kepada pelakon, Charlie Nu’man Salleh, 71, yang rumahnya di Gombak Setia, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran pada hari kedua Aidilfitri lalu.
Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac ketika ditemui di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia (PKGS), di sini berkata, pihaknya prihatin dengan apa yang berlaku dan akan berusaha sedaya-upaya untuk memberikan bantuan.
“Pihak Finas dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menghubungi saya. Beliau juga sudah menghubungi Zed semalam dan sangat prihatin terhadap keadaan yang sedang berlaku.
“Berkenaan aspek teknikal, itu di luar bidang saya untuk memberi ulasan mengenai perkara yang berlaku. Namun, kami amat prihatin terhadap ahli-ahli Seniman kita, semua persatuan, serta sesiapa yang berada di bawah naungan Finas.
“Kami akan cuba sedaya-upaya membantu. Ini adalah saat yang sukar buat saudara Charlie.
“Dia sudah lama berkecimpung dalam industri seni. Oleh itu, kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk membantunya dalam apa jua kapasiti yang kita mampu,” katanya.
Hans berkata, pihaknya juga akan meminta bantuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan tempat tinggal untuk Charlie dan enam anaknya.
“Saya akan menghubunginya secara peribadi untuk bertanya mengenai perkara ini. Ini adalah inisiatif yang saya boleh lakukan.
“Saya juga tidak mahu membuat janji yang berlebihan. Walaupun saya Pengerusi Finas dan kami mewakili ahli perbadanan Finas, ada kalanya usaha peribadi dan hubungan baik dengan pemimpin yang ada perlu digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Jika untuk kepentingan peribadi, kita tidak boleh menggunakan hubungan ini. Tetapi untuk kepentingan orang lain, kita boleh. Oleh itu, saya berani untuk menghubungi Menteri Besar Selangor bagi memohon bantuan.
“Ini adalah demi rakyat kita, khususnya seorang seniman dalam industri kita. Jika bantuan ini dapat disalurkan dengan segera, ia pasti lebih baik,” katanya.
Hans juga berharap agar bantuan yang diberikan dapat membantu persekolahan anak-anak Charlie di samping meraikan sambutan Aidilfitri.
“Kami juga mahu memastikan anak-anaknya dapat kembali ke sekolah, lebih-lebih lagi dalam suasana perayaan. Kami amat prihatin terhadap perkara ini.
“Mungkin anak-anaknya masih belum memahami sepenuhnya apa yang berlaku dan mereka masih gembira. Namun, sebagai seorang ayah, sudah pasti dia ingin memastikan kehidupan mereka terjaga.
“Jika kami boleh membantu, kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukannya,” katanya.
Finas bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sumbangan yang disalurkan kepada Charlie sekeluarga.
Hadir sama, Presiden Seniman Malaysia (Seniman) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Zed Zaidi.
Terdahulu, Charlie diduga apabila rumahnya di Gombak Setia terbakar pada hari kedua Aidilfitri. Charlie dan keenam-enam anaknya bagaimanapun tidak berdepan sebarang kecederaan dan sempat menyelamatkan diri.
Charlie dan anak-anaknya kini di tempat di Dewan PKGS sejak Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



