'Rakyat Malaysia itu bukan sasaran sebenar'

'Rakyat Malaysia itu bukan sasaran sebenar'

news@nst.com.my

Kota Bharu: Polis Thailand percaya alat letupan yang mencederakan dua rakyat Malaysia dalam letupan bom tepi jalan di Tak Bai, Narathiwat pada 29 Jun lalu disembunyikan di dalam tong gas memasak sebelum ditanam di tepi jalan.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, siasatan mendapati bom yang dianggarkan seberat kira-kira 70 kilogram itu diletakkan di dalam tong gas memasak kegunaan isi rumah sebelum ditanam di tepi jalan dan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

“Alat letupan itu disembunyikan di dalam tong gas memasak dan ditanam di tepi jalan. Beratnya kira-kira 70 kilogram,” katanya.

Prayong berkata, peranti itu diletupkan menggunakan mekanisme kawalan jauh sebaik sahaja sasaran yang dimaksudkan menghampiri lokasi kejadian.

Beliau mengulangi bahawa siasatan mendapati serangan itu sebenarnya menyasarkan sebuah kenderaan lain dan bukannya dua rakyat Malaysia yang secara tidak sengaja menjadi mangsa selepas memotong kenderaan sasaran beberapa saat sebelum letupan berlaku.

“Rakyat Malaysia itu bukan sasaran sebenar. Mereka kebetulan memotong kenderaan yang menjadi sasaran menyebabkan bom itu meletup ketika kenderaan mereka melalui lokasi berkenaan,” katanya.

Prayong berkata, polis percaya serangan itu dilakukan kumpulan pemisah yang beroperasi di wilayah sempadan selatan Thailand dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti serta menahan pihak yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, pegawai forensik dan anggota Unit Pemusnah Bom (EOD) mengumpul pelbagai bahan bukti di lokasi kejadian, termasuk serpihan tong gas serta komponen bahan letupan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihak berkuasa Thailand turut meneruskan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat dalam pemasangan, penanaman dan peledakan bom tersebut.

Letupan pada 29 Jun itu berlaku di sebatang jalan di daerah Tak Bai, Narathiwat, mengakibatkan kenderaan dinaiki dua rakyat Malaysia berkenaan mengalami kerosakan teruk.

Dua mangsa, Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, yang ke Narathiwat untuk bercuti, mengalami kecederaan dalam letupan itu sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Kedua-dua mereka sebelum itu menerima rawatan di Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, tinjauan di sepanjang Sungai Golok di Pengkalan Kubor mendapati aktiviti rentas sempadan antara Kelantan dan Tak Bai berjalan seperti biasa susulan kejadian letupan bom tepi jalan yang berlaku pada Isnin lalu.

Pergerakan bot penambang yang membawa penumpang antara kedua-dua kawasan berlangsung seperti biasa, manakala orang ramai dilihat terus berulang-alik merentasi sempadan tanpa sebarang gangguan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top