Sonny Bill Williams dilantik Duta Sukan Johor

Sonny Bill Williams dilantik Duta Sukan Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Legenda sukan antarabangsa Sonny Bill Williams menjadi atlet terbaharu secara rasminya dilantik sebagai Duta Sukan Johor selepas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pengiktirafan berprestij itu menjadi satu detik penting dan membuktikan komitmen Johor untuk memupuk kecemerlangan dalam sukan dan memberi inspirasi kepada generasi atlet akan datang.

Williams yang juga juara Piala Dunia Ragbi dua kali dan bekas peninju profesional berkata, pelantikan itu adalah satu penghormatan luar biasa buatnya.

“Saya teruja untuk menyumbang ke arah pertumbuhan sukan di Johor dan memberi inspirasi kepada atlet muda untuk merealiasikan impian, bekerja keras serta mencapai kejayaan.

“Saya akan menyediakan bimbingan atau klinik sukan atau apa sahaja kerana saya dengan senang hati akan melakukannya.

“Saya percaya bahawa perjalanan hidup saya, pengalaman yang saya peroleh, semuanya dapat dijadikan pengajaran yang boleh dikongsi,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian (MoU) Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Williams.

Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Williams berkata, beliau percaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Johor mampu melihat hasil daripada usaha yang dilakukannya dalam bidang sukan seperti kejayaan yang dibina kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Rakyat Johor benar-benar menyokong dan ini adalah satu perubahan besar dalam memperkasakan generasi muda. Bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di peringkat dunia.

“Dengan visi dan matlamat yang jelas serta kerja keras dan dedikasi, apa sahaja boleh dicapai,” katanya.

Sebagai Duta Sukan Johor, Williams akan memainkan peranan penting dalam membimbing atlet muda membabitkan diri dalam program bersama komuniti dan mempromosikan inisiatif pembangunan sukan di seluruh negeri.

Sementara itu, Pengarah MSNJ Ekmaluddin Ishak berkata, pihaknya kekal komited untuk memupuk bakat, membangunkan infrastruktur dan menyediakan peluang kepada atlet untuk menyinar di persada antarabangsa.

Menurutnya, beliau percaya Williams adalah individu yang tepat dilantik sebagai Duta Sukan Johor dan boleh merealisasikan visi pembangunan sukan bersama dengan perancangan betul.

“Beliau bukan sahaja membawa pengalaman luasnya dalam arena sukan elit, tetapi juga nilai disiplin yang tinggi, kepimpinan yang hebat dan pengaruh yang saya percaya mampu menarik perhatian ekosistem sukan Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top