Perlis sasar raih emas dalam e-sukan Sukma Selangor

Perlis sasar raih emas dalam e-sukan Sukma Selangor

KANGAR: Kontijen e-sukan Perlis sasar raih sekurang-kurangnya satu pingat emas bersama beberapa pingat lain dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor yang dijadual berlangsung Ogos depan.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Perlis, Muhammad Issya Md Salleh berkata, dalam merealisasikan impian buat kali pertama meraih pingat, pihaknya akan menghantar penyertaan bagi tiga jenis permainan melibatkan Mobile Legends, PUBG Mobile dan eFootball.

Katanya, persediaan awal telah dilakukan oleh pasukan e-sukan negeri termasuk melibatkan proses saringan dan latihan atlet terlibat.

“Pasukan e-sukan Perlis bakal menghantar 20 atlet termasuk melibatkan pegawai serta jurulatih terlibat,” katanya selepas program Perlis E-Sport Master 2026 di Arked Mara Kayangan Square di sini hari ini.

Muhammad Issya berkata, pembabitan pasukan e-sukan dalam temasya Sukma kali ini adalah merupakan penyertaan kali ketiga malah sebelum ini, mereka belum pernah membawa pulang sebarang pingat dalam kejohanan tersebut.

Katanya, pasukan e-sukan negeri ini juga mensasar mencipta sejarah sendiri bagi meraih pingat pada temasya itu bagi memudahkan pengurusan pasukan berkenaan mendapatkan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan negeri termasuk menarik penajaan pada masa hadapan.

“Kalau kami dapat pingat gangsa sekali pun, ia adalah satu pencapaian besar kerana sebelum ini, kita tidak pernah berjaya membawa pulang pingat dalam temasya Sukma,” katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Muhammad Issya berkata, penganjuran itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM5,000 membabitkan tiga permainan iaitu Mobile Legends, PUBG Mobile dan eFootball.

Katanya, anggaran peserta mendaftar dalam kejohanan tersebut begitu memberangsangkan dengan penyertaan hampir 250 orang.

“Antara sasaran utama program ini adalah sebagai pembangunan dan persediaan kepada atlet e-sukan, khususnya daripada segi latihan serta pendedahan pertandingan.

“Melalui kejohanan seperti ini, kita dapat melihat tahap kemampuan pemain dalam permainan seperti eFootball dan mengenal pasti berapa ramai atlet yang sesuai untuk dihantar menyertai kejohanan lebih besar,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top