ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia tidak memerlukan perjanjian baharu atau disebut sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak, bagi memastikan komitmen dan tanggungjawab berkaitan pembentukan Malaysia terus dipelihara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak ternoktah selepas tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.
Armizan berkata, sebaliknya ia terus hidup dengan terma dan komitmen yang kekal relevan serta mengikat semua pihak.
Katanya, perkara itu antara perlu difahami dan diterima lebih meluas sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 hari ini, khususnya berkaitan sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.
“Terma perjanjian yang tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan, dan MA63 itu terus hidup serta komitmen dan tanggungjawab digariskan kekal relevan serta mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Armizan berkata, perkara itu turut ditegaskan melalui Artikel VIII MA63 yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Beliau berkata, kesedaran terhadap sejarah pembentukan Malaysia tidak seharusnya terhad kepada kefahaman mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, sebaliknya turut merangkumi penerimaan terhadap MA63 sebagai dokumen asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
Katanya, Hari Malaysia hanya mula disambut secara rasmi pada 2010 selepas tarikh 16 September diangkat ke dalam takwim nasional, walaupun Malaysia dibentuk pada 1963.
“Sempena 63 tahun ini, marilah kita bersama memahami nilai dan makna Hari Malaysia dengan menerima kewujudan terma perjanjian yang dimeterai oleh pemimpin terdahulu,” katanya.
Armizan berkata, pemahaman terhadap sejarah berkenaan penting bagi memastikan Malaysia terus utuh, maju, makmur dan selamat untuk seluruh rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
