Mahdzir dedah bayangan awal kerjasama UMNO-Pas Kedah

ALOR SETAR – UMNO Kedah sudah mempunyai bayangan awal kerjasama yang bakal dijalin dengan Pas, hasil pertemuan tidak rasmi bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada petang Selasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuan santai minum petang itu disifatkan sebagai sangat positif.

“UMNO Kedah mengadakan kunjungan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah untuk pertemuan secara tidak rasmi dan saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertemuan dilakukan bersama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Menurut Mahdzir, UMNO Kedah juga membayangkan bagaimana untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan jika bergerak bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi.

“Saya akan maklumkan juga kepada pihak kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat berkaitan pertemuan tidak rasmi dengan pimpinan Pas Kedah ini dan langkah seterusnya akan kita susun kerana apa sekalipun keputusan yang hendak dibuat, akan diputuskan di peringkat tertinggi kedua-dua parti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pas negeri sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Scroll to Top