norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas tampil sedondon pada hari raya pertama baru-baru ini dengan pakaian berwarna biru, pasangan selebriti popular, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, kini tular lagi di media sosial.
Menerusi video membuat ‘trend velocity’ di TikTok, kelihatan Fattah turut ada bersama Amira dan adik-beradiknya, sekali gus membuatkan netizen berspekulasi pelakon itu berkenaan berada di Johor bersama keluarga Amira.
Lebih ‘mencantikkan’ cerita, Fattah menggayakan busana sedondon warna kelabu dengan keluarga Amira.
Tidak hanya itu, Fattah juga kelihatan membuat ‘mini love’ yang ditujukan kepada Amira di dalam video itu yang turut mendapat komen daripada netizen dengan menyifatkan ia bukan ‘trend velocity’ tapi ‘trend velocinta’.
Walaupun durasi video TikTok itu hanya 11 saat, namun kebanyakan netizen gembira dan puas apabila satu lagi pasangan sejoli ditunggu-tunggu muncul selepas Syed Saddiq dan Bella Astillah.
Semakan di ruangan komen mendapati kebanyakan netizen terhibur dengan kemesraan ditunjukkan Fattah dan Amira, termasuk disertakan juga tanda pagar #taksabarnakmerenjis.
“Guys, ni bukan ‘trend velocity’ tau, ni namanya ‘trend velocinta’ sebab Abang Long tak tengok kamera kat depan,” komen netizen.
“Kamera dekat depan Abang Long. Bukan tepi tu,” tulis seorang wargamaya.
“Abang Long buat trip beraya di Johor ke ni?,” ujar pengguna media sosial
“Ok, dua kali dah warna sedondon dengan ipar,” komen seorang lagi warganet.
Baru-baru ini, Fattah dan Amira menegaskan hubungan baik dan rapat mereka hanya sekadar rakan sekerja dan menolak dakwaan berkaitan percintaan.
Terdahulu, Fattah juga dimaklumkan pernah terlepas cakap memanggil Amira dengan panggilan ‘Yang’ ketika bersiaran langsung di TikTok.
Fattah yang juga bapa tunggal seorang anak perempuan sudah berpisah dengan bekas isterinya yang juga pelakon, Fazura pada 6 Oktober tahun lalu, manakala Amira, masih bujang dan tiada kekasih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




