Miami: Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa mengakui beliau bingung dengan keputusan dua perlawanan awal Piala Dunia 2026 apabila pasukannya hanya mengutip dua mata meskipun merasakan mereka sepatutnya meraih enam mata penuh.
La Celeste bermula dengan keputusan seri 1 1 menentang Arab Saudi sebelum sekali lagi diikat 2 2 oleh Cape Verde dalam aksi Kumpulan H di Miami.
Bielsa berkata, berdasarkan corak permainan dan peluang yang dicipta, Uruguay sepatutnya mampu memenangi kedua dua perlawanan tersebut.
“Kami tahu kami mempunyai dua perlawanan yang sepatutnya kami menang. Kami sepatutnya mampu menang kedua dua perlawanan itu,” katanya.
Uruguay dihukum dengan beberapa kesilapan pertahanan termasuk gol pertama Cape Verde hasil sepakan percuma jarak jauh yang melepasi benteng, selain kesilapan komunikasi di benteng pertahanan untuk gol kedua lawan.
Bielsa mengakui tanggungjawab terhadap kesilapan itu terletak pada pengendali pasukan.
“Kesilapan organisasi dalam pasukan akhirnya kembali kepada jurulatih.
“Namun dalam bola sepak tiada resipi ajaib untuk memperbaikinya dengan segera,” katanya.
Beliau menyifatkan jaringan yang dibolosi sebagai kesilapan mahal yang memberi kesan besar kepada keputusan akhir perlawanan.
Uruguay kini berada di kedudukan berkongsi tempat kedua Kumpulan H bersama Cape Verde, dua mata di belakang pendahulu Sepanyol.
Situasi itu menjadikan perlawanan menentang Sepanyol di Guadalajara pada Jumaat ini sebagai aksi wajib menang jika mahu mara ke pusingan seterusnya.
“Itu satu cabaran besar untuk kami. Kami perlu memperbaiki persembahan menentang lawan yang sangat kuat,” katanya.
Bielsa bagaimanapun menegaskan pasukannya tetap memiliki motivasi tinggi untuk menghadapi juara Eropah itu meskipun berada dalam tekanan besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




