Miami: Jurulatih Cape Verde, Bubista mengakui pasukannya kini menyasarkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Uruguay, awal pagi tadi yang menjadi satu lagi episod penuh kejutan dalam kempen mereka.
Pasukan yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia itu kini semakin hampir untuk layak ke pusingan 32 terbaik apabila mengulangi kejutan dengan mengutip satu mata daripada Uruguay selepas terikat tanpa jaringan menentang Spain pada perlawanan pembukaan.
Cape Verde yang berada di kedudukan ke-63 dunia akan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan H menentang Arab Saudi dan skuad itu sedar bahawa kemenangan akan menjamin tempat mereka ke pusingan seterusnya.
“Sejak awal lagi, apa yang kami katakan adalah kami mahu bersaing pada tahap tertinggi dan itulah yang kami cuba lakukan.
“Itulah yang kami lakukan dalam dua perlawanan ini dan yang lebih penting daripada keputusan ialah dapat menunjukkan identiti kami sebagai sebuah pasukan, kekuatan kami, perpaduan kami dan juga ketahanan kami.”
“Kami berada di sini untuk bersaing dan cuba mencapai impian baharu, iaitu layak ke pusingan kedua dan saya fikir adalah wajar untuk berfikir sedemikian.”
“Kami menghormati sepenuhnya semua lawan kami… tetapi kini kami berada pada tahap di mana kami boleh mengatakan bahawa kami pasti akan berjuang untuk melayakkan diri,” kata Bubista.
Sebelum perlawanan menentang Uruguay, Bubista berjanji bahawa pasukannya akan bermain tanpa rasa takut.
Mereka membuktikan kata-kata itu dengan mendahului menerusi sepakan percuma cantik oleh Kevin Pina, sebelum bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Helio Varela.
“Kami mahu menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa kami mempunyai kemampuan untuk berjuang mendapatkan tempat ke pusingan seterusnya dan saya fikir itulah yang kami tunjukkan hari ini.
“Pada ketika ini, apa yang kami fikirkan hanyalah untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




