KUANTAN – Setiap usaha untuk melakukan perubahan besar terhadap landskap politik negara perlu bermula dengan mengenal pasti problem statement (pernyataan masalah) yang jelas sebelum sebarang penyelesaian menyeluruh dapat dirangka secara strategik.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, perubahan tidak akan tercapai sekiranya parti politik masih terikat dengan budaya lama yang hanya menumpukan kepada perebutan jawatan serta retorik populariti jangka pendek.
Menurutnya pendekatan berasaskan analisis data dan fakta wajar diterapkan dalam tadbir urus politik bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan asas yang kukuh.
“Saya dilatih sebagai seorang jurutera dan juga seorang akauntan. Jadi kita mesti bermula dengan pernyataan masalah dan (melalui cara) itu, barulah kita cari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya.
“Kalau kita hendak mengubah budaya politik di negara ini, kita tidak boleh buat benda yang sama. Kita kononnya hendak mengubah sesuatu, tetapi kita ulang dan akhirnya jadi benda yang sama,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota di sini pada malam Ahad.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan, antara masalah utama dalam sistem politik negara ialah budaya membodek yang sudah berakar umbi sehingga menyebabkan golongan berkelayakan dan berpengalaman sukar untuk tampil ke hadapan
Jelasnya, keadaan itu berlaku apabila ruang politik lebih banyak dikuasai oleh individu yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi berbanding mereka yang benar-benar layak.
Justeru, bagi merungkai isu tersebut, Rafizi berkata. proses pemilihan calon dalam Bersama dirombak dengan memberi ruang lebih terbuka serta melibatkan pandangan akar umbi.
Tambahnya, langkah itu bertujuan memastikan keputusan pemilihan calon tidak tertumpu kepada segelintir pimpinan sahaja, sekali gus membuka peluang kepada golongan profesional yang sebelum ini terpinggir untuk menawarkan diri sebagai calon.
“Budaya politik yang membodek ini memerlukan wang yang besar dan apabila tauke melabur, akhirnya menang, dia akan mendapat pulangan dalam bentuk projek. Ini adalah kitaran yang perlu diputuskan,” katanya yang merujuk kepada kebergantungan politik kepada dana besar.
Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan, pemimpin politik perlu beralih daripada isu kepartian semata-mata kepada perancangan ekonomi jangka panjang yang lebih mampan.
Beliau turut mendakwa, risiko terhadap kawasan perindustrian seperti Gebeng dan Indera Mahkota yang bergantung kepada industri gas dan petrokimia, sedangkan sektor berkenaan dijangka merosot.
“Kita kena fikir apa yang akan berlaku 10 atau 15 tahun akan datang supaya tidak berlaku penyahindustrian pramatang.
“Tugas ahli politik bukan sekadar memegang jawatan, tetapi merangka penyelesaian kepada masalah rakyat dan memastikan kelangsungan ekonomi jangka panjang negara,” katanya.



