Bürgenstock, Switzerland: Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah menamatkan pusingan pertama rundingan bagi menamatkan perang di Asia Barat di resort Bürgenstock, Switzerland pada Isnin, dengan rundingan teknikal akan diteruskan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyifatkan terdapat “kemajuan besar” dengan bantuan pengantara Pakistan dan Qatar, manakala kerajaan Amerika Syarikat belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Berikut ialah perkara utama daripada kenyataan bersama Pakistan–Qatar selepas rundingan pusingan pertama:
• Pelan hala tuju ke arah perjanjian akhir
Jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan oleh Tehran dan Washington untuk menyelia rundingan telah bersetuju dengan satu pelan hala tuju ke arah mencapai perjanjian akhir dalam tempoh 60 hari, sekali gus membuka ruang kepada rundingan teknikal segera.
Rundingan teknikal akan diteruskan sepanjang minggu di Bürgenstock bagi semua isu yang dibincangkan.
• “Sel de-konflik” untuk Lebanon
AS dan Iran bersetuju menubuhkan sebuah “sel de-konflik” (pasukan atau saluran khas komunikasi) bersama Lebanon, difasilitasi oleh pengantara, bagi memastikan pematuhan terhadap penamatan operasi ketenteraan di Lubnan.
Langkah ini diambil ketika Lebanon terlibat dalam konflik Asia Barat sejak Mac, selepas kumpulan Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap konflik lebih luas.
Perang di Lubnan baru-baru ini telah mengancam usaha damai. Araghchi menyifatkan mekanisme ini sebagai “ujian sebenar pertama”.
• Laluan komunikasi Selat Hormuz
Tehran dan Washington juga menubuhkan “laluan komunikasi” bagi mengelakkan salah faham dan insiden, khususnya untuk memastikan laluan selamat kapal komersial melalui Selat Hormuz.
Laluan komunikasi ini akan berkuat kuasa sepanjang tempoh 60 hari seperti yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman, di mana Iran berjanji berusaha memastikan keselamatan perkapalan.
Iran sebelum ini mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan di Lubnan.
• Isu aset dan sekatan
Araghchi mendakwa bahawa eksport minyak dan petrokimia dibenarkan semula, sekatan ditarik balik, beberapa aset beku dibebaskan, dan pelan pembangunan serta pembinaan semula besar-besaran dilancarkan untuk Iran.
Namun, kenyataan bersama Pakistan–Qatar tidak menyebut secara langsung tentang pembekuan aset Iran.
Di bawah memorandum persefahaman, AS dikatakan bersetuju untuk menarik balik semua sekatan dan mengembalikan dana serta aset Iran yang dibekukan.
Rumah Putih belum memberi maklum balas terhadap kenyataan tersebut.
• Peranan Pakistan dan Qatar
Pakistan dan Qatar memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan ini.
Kedua-dua negara menegaskan mereka akan terus membantu memastikan rundingan berlangsung dalam suasana konstruktif untuk mencapai perjanjian akhir.
Araghchi turut memuji usaha “mediasi tanpa henti” oleh kedua-dua negara tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




