puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia buat pertama kali dalam hidupnya di Amerika Syarikat, pelakon, Zul Ariffin menganggap ia mimpi jadi kenyataan.
Menerusi hantarannya di Instagram, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 40, menyifatkan pengalaman menjejakkan kaki ke stadium ikonik di Los Angeles (LA) merupakan memori yang sukar dilupakan.
“Alhamdulillah! Ini kali pertama saya hadir secara langsung ke Piala Dunia. Berada di stadium terkenal di LA, tempat persembahan hebat seperti Super Bowl, memang satu mimpi jadi kenyataan.
“Saya sempat menonton perlawanan England dan Bosnia, memang pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup.
“Permainan bola sepak sangat hebat, suasana pula luar biasa. Saya menikmati setiap detik di sini. Ini benar-benar impian Piala Dunia saya, semuanya hasil peluang bersama KIA. Boom!” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menariknya, kunjungan kali pertama ke negara berkenaan juga merupakan hasil tajaan penuh KIA Malaysia bersama KIA Asia Pacific.
Dalam pada itu, rata-rata netizen yang meminati sukan bola sepak itu turut teruja melihat perkongsian pelakon filem Magik Rompak itu.
“Seronoknya, suasana stadium tu lain macam. Memang padu,” tulis netizen.
“Rezeki betul, dapat tengok live World Cup,” tulis warga net.
Untuk rekod, Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 telah membuka tirainya pada 11 Jun lalu di Stadium Azteca, Mexico City dan dijadualkan berakhir dengan perlawanan akhir pada 19 Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




