kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Golongan asnaf di ibu negara terus dibantu pada Aidilfitri ini menerusi bantuan makanan dan keperluan asas menerusi program kebajikan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Penyelaras Skuad Jejak Asnaf MAIWP, Muhammad Ishak Zulkifly berkata, sebanyak 150 keluarga asnaf dibantu dalam usaha memastikan golongan itu tidak berasa terpinggir pada sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, pihaknya berharap bantuan itu memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang berdepan dengan cabaran hidup di kota metropolitan.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kedua-dua pihak (NGO dan MAIWP) dalam membela kebajikan golongan asnaf yang terjejas.
“Ini adalah kerjasama strategik tahun ketiga antara Pertubuhan Prihatin dan Muhibbah KL dan Selangor (PPMKLS) dan MAIWP khususnya untuk meringankan beban golongan sasaran serta membawa sedikit kegembiraan menjelang Hari Raya,” katanya.
Menurutnya, pengagihan bantuan dilaksanakan di tiga lokasi iaitu di Dewan Komuniti Sentul, Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Maju dan Perumahan Awam Seri Selangor.
Katanya, setiap keluarga menerima bantuan mengandungi barangan keperluan harian termasuk barang dapur selain kuih raya.
“Kejayaan program ini mendorong kami merancang untuk memperluaskannya pada tahun hadapan dengan sasaran membantu 500 keluarga asnaf dengan kerjasama lebih banyak NGO,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




