riadz@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Hari ini adalah ulang tahun kelahiran pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid. Jika dia masih hidup, usianya hari ini ialah 62 tahun.
Dalam usia ini, Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd Khalid pasti masih gigih berkarya. Malah, banyak lagi idea dan filem dalam kepala Mamat sebelum dia meninggal dunia.
Namun, ajal terlebih dulu menjemputnya apabila Mamat meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 akibat serangan jantung pada usia 58 tahun.
Pemergian Mamat satu kehilangan besar buat industri filem tanah air. Sukar untuk mencari pengganti pengarah dan penulis skrip yang memiliki sentuhan unik dan tersendiri ini.
Antara kelebihan Mamat ialah kita boleh tahu itu filemnya berdasarkan dialog, cerita, pelakon dan lokasi filem itu walaupun kita menonton filem berkenaan tanpa dimaklumkan siapa pengarahnya.
Dialog dalam loghat Perak dan lokasi penggambaran di sekitar Perak seperti Ipoh, Kuala Kangsar, Tanjung Malim dan Taiping sudah menjadi ‘trademark’ dalam filem dan telefilem Mamat.
Satu lagi kelebihan anak jati Kampung Sungai Rokam, Ipoh ini ialah dia tidak terlalu bergantung kepada pelakon-pelakon popular sebagai watak utama dalam filemnya.
Pelakon yang kurang dikenali sebelum itu seperti Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail yang membawa watak Usop Wilcha, Allahyarham Rab Khalid (Yeh Sekupang), Allahyarham Man Kadir (Pak Jabit), Dewa Sapri (Cik Purnama), Azmi Baharon (Black), Sharwani NS (Wani, Dio), TJ Isa (Khuda), Afea Deana (Yah Kuchei) dan Rashid Othman (Faguha Jabar) berjaya menampilkan lakonan berkesan hasil bimbingan Mamat.
Malah, kebanyakan watak-watak tambahan yang terdiri daripada rakan-rakan sekeliling termasuk rakan media yang diminta menjadi ‘pelakon’ juga mampu menjayakan watak masing-masing.
Begitu juga dengan nama-nama yang sedia dikenali antaranya Belle Ngasri (Barkoba), Kazar (Pak Din), Joey Daud (Daud M), Delimawati (Kak Limah), Khir Rahman (Jijo), Kamarul Haji Yusof (Cik Man) dan Allahyarham Loloq (Ah Lok, A Kamsan) yang terus mencipta populariti selepas ‘menjadi’ dengan watak ciptaan Mamat.
Malah, Mamat juga berjaya ‘mengeluarkan’ sisi komedi Datuk Awie menerusi watak Husin dalam siri filem Zombie dan Hantu Kak Limah.
Begitu juga dengan nama-nama yang sedia dikenali antaranya Belle Ngasri (Barkoba), Kazar (Pak Din), Joey Daud (Daud M), Delimawati (Kak Limah), Khir Rahman (Jijo), Kamarool Haji Yusof (Cik Man) dan Allahyarham Loloq (Ah Lok, A Kamsan) yang terus mencipta populariti selepas ‘menjadi’ dengan watak ciptaan Mamat.
Sepanjang hayatnya, Mamat mengarah 25 filem termasuk filem Rajawali : Aku Abang Long yang belum ditayangkan. Filem pertama arahannya ialah Lang Buana pada 2003.
Antara filem popularnya ialah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Zombie Kampung Pisang, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Man Laksa, Estet, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Manap Karaoke dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.
Selain filem komedi, Mamat turut tampil dengan filem genre berat dan ‘dark’ seperti Lebuhraya Ke Neraka, Amir & Loqman Pergi Ke Laut dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.
Mamat turut menghasilkan telefilem dan drama bersiri yang terus diingati seperti Namaku Yassin, Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel, Pinang Durian, 15 Puasa, 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampung Pisang Bersiri-Siri.
Secara peribadi, lima filem terbaik Mamat pilihan penulis ialah Man Laksa, Hantu Kak Limah, Rock Bro, Estet dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.
Berikut lima filem popular Mamat yang mencatat kutipan paling tinggi :
1. Hantu Kak Limah – RM36.2 juta (2018)
2. Hantu Kak Limah Balik Rumah – RM10 juta (2010)
3. Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet – RM5.9 juta (2013)
4. 18 Puasa Di Kampung Pisang – RM5 juta (2021)
5. Rock Bro – RM4.6 juta (2016)
© New Straits Times Press (M) Bhd