Biarpun jersi berbeza, Rashford sasar kemenangan ketiga ke atas PSG

Biarpun jersi berbeza, Rashford sasar kemenangan ketiga ke atas PSG

London: Marcus Rashford kembali ke Paris Saint-Germain (PSG) bersama Aston Villa, awal pagi Khamis dengan misi memburu kemenangan ketiga berturut-turut di gelanggang juara Perancis itu, manakala Marco Asensio pula berpotensi untuk menyakitkan hati kelab asalnya.

Kedua-dua pemain itu menunjukkan prestasi cemerlang sejak menyertai pasukan Unai Emery secara pinjaman dalam jendela perpindahan musim sejuk, dengan jumlah keseluruhan 11 gol dalam semua pertandingan.

Aston Villa menuju ke Paris dengan semangat tinggi selepas mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan mereka kini di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan akan berdepan Crystal Palace dalam separuh akhir Piala FA, hujung bulan ini.

Rashford akan kembali ke Parc des Princes dengan penuh keyakinan selepas dua kali memainkan peranan penting membantu kelab lamanya, Manchester United meraih kemenangan di gelanggang PSG itu.

Pada 2019, dalam pertemuan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), dia menjaringkan penalti pada masa kecederaan yang memastikan United mara berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Dua musim kemudian, dalam peringkat kumpulan kejohanan itu, Rashford sekali lagi menjaringkan gol lewat permainan untuk membantu pasukannya menang 2-1.

Awal pagi Khamis ini, pemain sayap England itu yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke PSG akan turun dengan jersi berbeza selepas meninggalkan Old Trafford dalam keadaan tegang.

Penyerang yang kini bangkit semula itu telah mencatat beberapa bantuan gol dan menjaringkan gol sulungnya dalam EPL untuk Villa ketika menentang di Brighton minggu lalu, hanya tiga hari selepas meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Preston di suku akhir Piala FA.

Pengurus Villa, Unai Emery yang pernah membimbing PSG dari 2016 hingga 2018 berkata, Rashford yang turut dipanggil semula ke skuad England oleh Thomas Tuchel bulan lalu, kini berada di landasan yang betul.

Masih belum pasti sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan kekal di Villa Park musim depan, tetapi buat masa ini, tumpuannya adalah untuk menjuarai UCL bersama kelab baharunya dan ia adalah sesuatu yang gagal dicapainya ketika bersama United.

“Keyakinannya sedang pulih dengan bermain bola sepak, memberi fokus sepenuhnya kepada bola sepak, selesa bersama rakan sepasukan, mengenali serta memahami gaya permainan dan kehendak kami,” kata Emery.

“Semuanya semakin bertambah baik untuknya secara beransur-ansur.”

Sementara itu, Asensio yang memenangi UCL tiga kali bersama Real Madrid muncul sebagai pemain penting di Villa Park, menjaringkan lapan gol dalam 11 penampilan, termasuk tiga gol pada peringkat 16 akhir ketika Villa menewaskan Club Brugge 6-1 secara agregat.

Pemain Sepanyol berusia 29 tahun itu menjaringkan lebih banyak gol di bawah bimbingan rakan senegaranya, Emery dalam masa dua bulan berbanding sepanjang tempohnya bersama PSG, yang disertainya pada 2023.

Asensio layak bermain kerana peraturan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyatakan kelab tidak boleh memberi apa-apa pengaruh ke atas pemain yang boleh (atau tidak boleh) diturunkan oleh kelab lain dalam satu perlawanan.

Pemain tengah Villa, Amadou Onana, berkata kedua-dua pemain pinjaman itu memberi impak besar kepada kelab yang berpangkalan di Birmingham itu.

“Kedua-duanya bermain dengan sangat baik,” katanya kepada saluran YouTube UEFA, *Off Pitch*.

“Anda boleh lihat sebaik sahaja mereka tiba, impaknya amat ketara. Mereka pernah bermain di tahap tertinggi dan bagi kami pemain muda, ia sangat memberi inspirasi untuk berlatih dan belajar daripada mereka setiap hari.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top