am@hmetro.com.my
Tapah: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 44, diumumkan sebagai calon mewakili PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengumuman diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sempena Majlis Pengisytiharan Calon PN di Padang Awam Tapah Road, malam ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Maufakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Berdasarkan biodata yang dikongsikan kepada media, beliau adalah Pengetua Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Ad-Din Ayer Kuning Tapah sejak 2015 sehingga kini dan mempunyai kelulusan dari Institut Al Fatah Al Islamy Damascus, Syria (2000-2006) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah ( 2011-2015).
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.
Allahyarham menjadi ADUN Ayer Kuning pada penggal pertama selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd