Teruja dapat sokongan dan kerjasama dengan penggiat seni di Indonesia

Teruja dapat sokongan dan kerjasama dengan penggiat seni di Indonesia

am@hmetro.com.my

Selepas lebih sedekad mencipta nama di pentas muzik antarabangsa, penyanyi dan penulis lagu, Zee Avi membuka lembaran baharu apabila menjalin kerjasama strategik dengan Sony Music Publishing Indonesia.

Kerjasama itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kehadiran dan memperluas pengaruh muzik Zee atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman, 40, di Indonesia yang sekian lama menjadi antara pasaran paling setia menyokong karyanya.

Pemenang kategori Lagu Tema Asal Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-53 di Taipei menerusi lagu Arena Cahaya untuk filem Ola Bola itu berkata, kerjasama berkenaan mampu mengukuhkan hubungan kreatif antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, peluang itu hadir secara semula jadi hasil sokongan berterusan yang diterimanya daripada peminat di Indonesia sejak sekian lama.

“Saya sentiasa percaya muzik mempunyai jalannya yang tersendiri. Selama bertahun-tahun, saya bertuah kerana terus menerima sokongan daripada pendengar di Indonesia dan hubungan itu semakin kukuh.

“Indonesia memberikan begitu banyak kasih sayang terhadap muzik saya. Sebab itu, kerjasama antara kumpulan saya, Zee Avi & The Good Things, dengan Sony Music Publishing Indonesia terasa seperti langkah yang sangat semula jadi.

“Mereka membantu memperkenalkan muzik kami kepada khalayak lebih luas, pada masa sama memberi ruang untuk kami terus mengekalkan identiti sebagai artis dan penulis lagu,” katanya dalam kenyataan.

Zee Avi & The Good Things dianggotai Zee selaku vokalis dan komposer bersama Yuswa Ansari (keyboard) serta Raja Farouk (bes).

Menurut Zee, kerjasama itu turut membuka ruang untuk memperluaskan jaringan bersama penulis lagu dan pemuzik Indonesia, selain menyumbang kepada pengukuhan ekosistem muzik serantau.

“Harapan terbesar saya adalah untuk berhubung dengan lebih ramai pendengar, penulis lagu dan artis, sekali gus mengeratkan hubungan antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.

“Saya berharap kerjasama ini membuka lebih banyak peluang pertukaran idea kreatif yang bermakna dan membolehkan kami saling belajar antara satu sama lain.

“Secara peribadi, saya juga teruja untuk berkembang sebagai penulis lagu menerusi sesi penulisan dan kolaborasi yang dirancang oleh Sony Music Publishing Indonesia,” katanya.

Penyanyi kelahiran Miri, Sarawak itu berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memperkenalkan katalog muziknya kepada pendengar Indonesia, selain mengintai peluang mengadakan persembahan di negara berkenaan.

“Saya berharap dapat meluangkan lebih banyak masa di Indonesia dengan mengadakan persembahan, bertemu peminat, bekerjasama dengan pemuzik tempatan dan menjadi sebahagian daripada komuniti kreatif yang begitu luar biasa di sana.

“Sejujurnya, persembahan secara langsung sentiasa menjadi bahagian yang paling saya nikmati sebagai pemuzik. Ketika ini ada beberapa perbincangan sedang berlangsung dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Indonesia,” katanya.

Album sulung berjudul Zee Avi yang diterbitkan pada 2009 pernah disenaraikan oleh The Associated Press sebagai antara 10 album terbaik tahun itu.

Album sama turut mencatat jualan melebihi 300,000 unit selain menerima pensijilan emas di beberapa negara Asia.

Karya ciptaan Zee turut mendapat pengiktirafan di Hollywood apabila lagu Swell Window dimuatkan dalam runut bunyi filem 21 Jump Street (2012) lakonan Jonah Hill dan Channing Tatum.

Selain itu, lagu-lagunya pernah digunakan dalam beberapa kempen iklan antarabangsa termasuk rangkaian pasar raya Walmart di Amerika Syarikat (AS), sekali gus memperluaskan lagi pengenalannya kepada khalayak global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top