BUDI95 jimat RM4 bilion setahun

BUDI95 jimat RM4 bilion setahun

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) membolehkan penjimatan an­tara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun bagi menyediakan ruang untuk meningkatkan ban­tuan sosial kepada rak­yat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah penjimatan fiskal tahunan itu tertakluk kepada harga minyak mentah dunia, pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

Bagaimanapun, kata­nya, penjimatan daripada BUDI95 tidak disimpan di dalam lebihan fiskal semata-mata, sebaliknya ia dimanfaatkan semula kepada rakyat.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan bersasar kepada rakyat terbanyak dalam usaha mengukuhkan ja­ringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.

“Antaranya termasuk peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), merupakan ter­tinggi yang pernah disediakan.

“Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi tahun ini juga meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya di Dewan Negara, semalam.

Amir Hamzah berkata, peruntukan program Jualan Rahmah Madani, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan pas My50 turut dipertingkatkan dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai impak penjimatan tahunan daripada pelaksanaan BUDI95.

Mengenai had BUDI95, Amir Hamzah berkata, kurang satu peratus rak­yat menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten.

“Secara purata penggunaan RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top