sukan@hmetro.com.my
Aichi: Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky mengakui kecewa selepas Pearly Tan-M Thinaah gagal melangkah ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ketika pasangan itu memiliki peluang untuk menamatkan aksi separuh akhir secara straight set.
Menurut Rexy, kelebihan yang dimiliki Pearly-Thinaah pada set kedua tidak dimanfaatkan sebaiknya apabila beberapa kesilapan di penghujung permainan memberi kesempatan kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning untuk mengubah momentum perlawanan.
“Memang sangat disayangkan kerana kita boleh pergi lebih daripada itu. Pada set kedua, kita sudah hampir mendapatkannya tetapi ada sedikit kesilapan pada mata-mata kritikal.
“Pada mata-mata kritikal itu, mereka (Sheng Shu-Tan Ning) mungkin lebih berani kerana mereka bermain lebih bebas, ‘nothing to lose’,” katanya ketika ditemui.
Pearly-Thinaah yang turun sebagai pasangan nombor lima dunia akhirnya akur 21-16, 20-22, 12-21 kepada gandingan nombor satu dunia itu di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.
Bagi Rexy, faktor fizikal turut memainkan peranan apabila Pearly-Thinaah gagal menandingi kekuatan lawan sepanjang set penentuan.
“Dalam set ketiga kita kalah dari segi strength (kekuatan),” katanya.
Bagaimanapun, Rexy melihat secara keseluruhan kempen skuad negara di Aichi-Nagoya sebagai perkembangan positif dengan barisan lelaki dan wanita menunjukkan persefahaman serta kesatuan yang semakin baik.
Katanya, kelemahan yang dikenal pasti sepanjang kejohanan akan diberi perhatian bagi memperkemaskan persiapan menghadapi Sukan SEA tahun depan, selain membina asas lebih kukuh menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kita memang lihat pasukan lelaki dan wanita mempunyai pasukan yang solid dan bermain dengan baik.
“Untuk SEA Games tahun depan dan juga Olimpik LA, kita mungkin perlu bekerja lebih dalam perkara-perkara yang kita nampak sekarang.
“Dari segi kemahiran, pemain kita masih okey tetapi mungkin perkara di luar daripada itu, termasuk aspek kekuatan, perlu kita perbaiki,” katanya.
Pingat gangsa yang diraih Pearly-Thinaah turut menyamai pencapaian skuad badminton negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut membawa pulang gangsa pada edisi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




