Coimbatore: Tiga suspek penyeludup enggan memberhentikan kereta mereka ketika pemeriksaan polis di Coimbatore, India, menyebabkan seorang anggota polis memanjat ke atas bumbung kenderaan berkenaan dan berpaut sehingga mereka berjaya ditahan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Vilankurichi, Coimbatore, ketika polis menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan produk tembakau.
Video aksi mengejar suspek itu yang mendebarkan kini tular di media sosial.
Menurut polis Coimbatore, aksi kejar-mengejar itu berlarutan kira-kira 40 kilometer, dengan konstabel kanan, Velmurugan, berpaut pada bumbung sebuah kereta Hyundai Creta.
Polis berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Karnataka tidak berhenti sebaliknya memecut meninggalkan lokasi.
Mengesyaki kenderaan itu membawa penyeludup, polis segera mengejar kereta berkenaan menggunakan motosikal. Dalam usaha memberhentikannya, Velmurugan berpaut pada kenderaan terbabit.
Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta itu terus memecut menyebabkan aksi kejar-mengejar berlanjutan kira-kira 40 kilometer.
Video menunjukkan kereta terbabit dipandu pada kelajuan tinggi, manakala anggota polis berkenaan masih berpaut di atas bumbung.
Pasukan polis akhirnya berjaya mengawal keadaan dan memberhentikan kenderaan berkenaan berhampiran sebuah stesen minyak di sempadan daerah Coimbatore.
Menurut pegawai kanan polis, pihaknya sebelum itu menerima maklumat bahawa kira-kira 300 kilogram gutka dan produk tembakau lain diseludup menggunakan sebuah kereta.
Susulan maklumat itu, pemeriksaan jalan raya dijalankan.
Ketika konstabel kanan terbabit berpaut pada kereta, seorang subinspektor yang mengejar kenderaan itu dengan motosikal memaklumkan kejadian kepada bilik kawalan dan perkhidmatan ambulans.
“Kami memberhentikan kenderaan itu berhampiran stesen minyak di sempadan daerah Coimbatore dan merampas 200 kilogram gutka. Tiga suspek ditahan dan sedang disoal siasat,” kata pegawai kanan berkenaan kepada NDTV.
Video kejadian itu dirakam dari dalam ambulans.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek adalah warga Rajasthan dan dalam perjalanan dari Karnataka.
Siasatan lanjut sedang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




