Keadaan di Gaza makin genting

Keadaan di Gaza makin genting

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Keadaan di Gaza, Palestin semakin genting dengan serangan udara tanpa henti oleh rejim Zionis ke atas wilayah utara, selatan dan tengah Gaza, mengakibatkan angka korban meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, situasi semasa jauh lebih dahsyat berbanding sebelumnya, dengan purata kira-kira 70 rakyat Palestin gugur syahid setiap hari sejak Israel melanggar genjatan senjata pada 18 Mac lalu.

“Sehingga kini, lebih 1,350 hingga 1,400 nyawa terkorban dan hampir separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.

“Apa yang lebih menyayat hati, ramai kanak-kanak yang dibawa ke hospital dari lokasi serangan berada dalam keadaan tanpa kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan Israel kini menggunakan senjata jenis baharu yang menyebabkan kesan serangan amat mengerikan dan di luar batas kemanusiaan.

Menurutnya, usaha rundingan genjatan senjata masih buntu apabila pihak Israel menolak tawaran Hamas untuk membebaskan lima tebusan Israel sebagai pertukaran kepada 50 hari gencatan senjata.

“Israel menuntut semua tawanan dibebaskan tanpa memberikan sebarang jaminan bahawa tentera mereka akan berundur dari bumi Gaza.

“Sudah tentu permintaan ini tidak dapat diterima oleh Hamas dan rakyat Palestin kerana tiada jaminan peperangan akan dihentikan walaupun permintaan itu dipenuhi,” katanya.

Orang yang ramai prihatin untuk bersama membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza boleh menyumbang kepada akaun Maybank Cinta Gaza Malaysia 564810507826.

Dalam pada itu, Nadir berkata, bantuan kemanusiaan juga tersekat selepas sempadan ditutup sepenuhnya menyebabkan krisis bekalan makanan semakin meruncing.

Menurutnya, Cinta Gaza Malaysia kini terpaksa mengubah bentuk bantuan dengan menggantikan menu agihan makanan panas berasaskan ayam atau daging dirancang sebelum ini kepada menu sayuran sahaja.

“Kami tidak dapat lagi menyediakan bantuan makanan berasaskan protein kerana daging mentah tidak dibenarkan masuk ke Gaza. Situasi ini amat kritikal dan rakyat Gaza kini berada di ambang kebuluran yang teruk,” katanya.

Beliau merayu sokongan berterusan rakyat Malaysia untuk terus membantu penduduk di Gaza yang diuji dengan derita peperangan, kelaparan dan kemusnahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top